Carian
Tesla Cybertruck Akan Dibangunkan Sepenuhnya Dan Dihantar Ke Pelanggan Pada Tahun 2024
January 30, 2023 Nazrin

Tesla Cybertruck ialah trak pikap elektrik yang diperkenalkan syarikat kenderaan elektrik tersebut pada tahun 2019. Walaupun permintaan untuk kenderaan tersebut dilihat sangat positif, Tesla masih belum lagi menghasilkan sebuah pun kenderaan tersebut setakat ini.

Apabila ditanya mengenainya sewaktu sesi pembentangan kewangan syarikat tersebut, Elon Musk mengesahkan bahawa pembangunan kenderaan tersebut akan bermula sekitar musim panas (suku kedua/ketiga tahun ini) dan hanya akan mula dibangunkan dan dihantar pada skala penuh pada tahun 2024.

Elon Musk mengatakan bahawa kelengkapan untuk mengilang Cybertruck sedang dalam proses dipasang di kilang Tesla, dan walaupun pembangunan kenderaan akan dimulakan pada pertengahan tahun ini, penghantaran kepada pelanggan-pelanggan yang sudahpun menempah Cybertruck ini hanya akan berlaku pada tahun hadapan.

Bukan itu sahaja, Elon Musk juga mengesahkan bahawa perubahan dari segi konfigurasi kenderaan dan juga tanda harga akan berubah. Ini termasuklah perubahan kepada tanda harga model paling murah dengan konfigurasi satu motor pada harga $39,900 sebelum ini sehinggalah konfigurasi tiga motor pada harga $70,000.

Tesla masih lagi menerima deposit untuk Cybertruck ini, tetapi nampaknya sudah secara rasmi mengatakan bahawa konfigurasi dan tanda harga yang ditawarkan mungkin akan berubah bergantung kepada keadaan ekonomi dan juga kestabilan pasaran bahan dan kelengkapan automotif yang sedia ada.

Komen