Carian
Mumia Tertua Dari Mesir Ditemukan Berhampiran Piramid Saqqara
January 30, 2023 Effi Saharudin

Mesir terkenal dengan sejarah Nabi Musa, Firaun, piramid, Sungai Nil dan mumia bersejarah. Menurut kepercayaan Mesir purba, mayat perlu diawet supaya boleh bangkit semula di alam barzakh. Ahli kaji sejarah Mesir hujung minggu lalu mengumumkan penemuan mumia berusia 4300 tahun yang merupakan yang tertua pernah ditemukan di negara tersebut.

Mumia individu bernama Hekashepes ini digali keluar dari sebuah terowong sedalam 15 meter berhampiran Piramid Saqqara. Ia terpelihara lebih 4000 tahun kerana keranda batu kapur di mana ia disimpan tidak pernah dibuka sejak pengebumian. Permukaan mumia juga dilitupi dengan daun emas.

Tiga lagi makam purba turut ditemukan di kawasan yang sama dengan salah satunya mengandungi jasad Meri yang bertugas sebagai penyimpan rahsia Firaun.

Pengumunan yang dilakukan ini diharap akan dapat menarik semula kedatangan pelancong ke Mesir yang terjejas teruk akibat pandemik. Antara yang akan dilakukan tahun ini ialah pembukaan Grand Egyptian Museum yang bakal menjadi muzium terbesar dunia meletakkan ribuan artifak Mesir purbakala di bawah satu bumbung.

Komen