ASUS baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah siri komputer riba yang menggabungkan paparan yang besar bersama-sama prestasi produktiviti yang mantap dan ciri-ciri perkomputeran yang terbaru.
Siri komputer riba tersebut ialah ASUS VivoBook Go 14 dan ASUS VivoBook Go 15 OLED yang dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen 7000U yang baru sahaja diperlihatkan sewaktu acara CES 2023 baru-baru ini.
ASUS VivoBook Go 14 hadir dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD, manakala ASUS VivoBook Go 15 OLED pula memperlihatkan paparan OLED bersaiz 15.6 inci dengan resolusi yang sama.
Kedua-dua komputer riba ini juga dikuasakan dengan pilihan CPU AMD Ryzen 7000U yang termasuklah AMD Ryzen 5 7520U dan juga memori LDDR5 sebanyak 16GB bersama-sama storan SSD sebesar 512GB.
Komputer-komputer riba ini juga hadir dengan sokongan untuk teknologi baru seperti WiFi 6E, palam-palam USB 3.2 Gen1 berbentuk USB-A dan USB-C, palam USB 2.0 Type-A, palam HDMI dan juga palam audio 3.5mm.
Walaupun hadir dengan paparan bersaiz 14 dan 15.6 inci, komputer riba VivoBook Go 14 dan 15 OLED ini hadir dengan ketebalan sekitar 17.9mm dan mempunyai berat 1.3kg sahaja, menjadikannya sebuah komputer riba yang cukup ringan dan mudah dibawa kemana-mana.
Dari segi rekaan warna, ASUS VivoBook Go baru ini tampil dengan pilihan Mixed Black, Cool Silver dan Cozy Green. Setakat ini, ia tidak diketahui lagi bilakah ASUS akan memperkenalkan komputer riba ini untuk pasaran umum.