Cari @ Amanz

Ulasan – OnePlus 11 Cukup Handal Untuk Diandalkan

Link Copied!

Tahun ini, OnePlus menyatakan mereka tidak akan hadir dengan telefon pintar variasi “Pro”. Sebaliknya peranti mercu mereka hanya satu sahaja iaitu OnePlus 11. Peranti ini telah pun dilancarkan di China pada Januari lalu dan disahkan akan tiba ke pasaran Malaysia pada 14 Februari hadapan. Selepas menggunakan peranti ini selama tiga minggu, saya rasakan ia mempunyai potensi mengancam peranti mercu lain di pasaran.

OnePlus 11 telah pun tiba di makmal Amanz sejak Januari lalu dan ketika artikel ini ditulis sudah tiga minggu saya menggunakan peranti ini sebagai peranti harian saya. OnePlus kembali bekerjasama dengan Hasselblad selepas tidak diberikan pada OnePlus 10T dan ketika saya menggunakan peranti ini bersama-sama dengan Vivo X90 Pro, saya terkejut – adakah OnePlus 11 akan menjadi peranti mercu Android terbaik tahun ini? Jika ya, adakah berbaloi untuk anda habiskan wang mungkin sekitar RM3500 padanya?


Spesifikasi

OnePlus 11 5G
Skrin6.7″ Super Fluid AMOLED LTPO3, QHD+ 3216×1440,
120Hz, Dolby Vision, HDR10+, ~525 ppi
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 (4nm)
Cip1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM8/16 GB LPDDR5X
Sehingga 12GB Memori maya
Muatan Dalaman128GB UFS 3.1
256GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.8, OIS, EIS (Sudut Lebar)
48 MP, f/2.2, (Sudut Ultra-Lebar)
32 MP, f/2.0 (Telefoto)
Hasselblad Camera for Mobile, XPan Mode
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.45
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 100W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
AudioTiada bicu audio
Dual “Reality” Speakers Dolby Atmos
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 3299 (8/128 GB)
RM 3599 (16/256 GB)

Skrin

Spesifikasi skrin OnePlus 11 adalah mirip dengan OnePlus 10 Pro dengan saiz 6.7-inci panel Super Fluid AMOLED LTPO3 beresolusi QHD+ 3216×1440 dan kadar segar semula adaptif 1-120Hz. I adalah peranti OnePlus pertama menyokong Dolby Vision dan kecerahan yang mencapai 1300 nits. Di bawah skrin turut ada pengimbas cap jari yang sangat pantas. Sentuh sekejap sahaja terus boleh menyahkunci peranti dengan kedudukannya yang juga baik.

Saya sudah banyak mengulas peranti OnePlus dan setakat ini semuanya FHD+ sahaja. Maka resolusi QHD+ pada OnePlus 11 ini dapat dilihat bezanya. Butiran yang lebih jelas dan warna yang lebih tajam dapat dipaparkan. Skrin peranti jelas lebih berkualiti, sedap mata memandang dan menonton kandungan video amat memuaskan.

Tambahan lagi dengan mod video Bright HDR, Video volour enhancer dan sokongan Natural tone display – membantu melindungi mata pengguna. Cuma mengecewakan, unit ulasan ini menggunakan Oxygen OS 13 versi awal dan kandungan Dolby Vision pada Netflix tidak boleh dipaparkan.

Dengan panel LTPO3, skrin peranti juga sangat lancar. Sepanjang tiga minggu penggunaan, tiada langsung lengah masa ketika tatalan dan tampak pantas. Sokongan kadar segar semula adaptif juga berfungsi dengan baik apabila membaca e-buku dan melihat gambar ia bergerak pada kadar 10Hz. Cuma dakwaan mereka boleh turun sehingga 1Hz tidak berlaku pada mana-mana aplikasi bacaan termasuk Kindle dengan mod paparan hitam-putih. Ini bermakna, jika ia tidak turun sehingga 1Hz penggunaan bateri mungkin lebih tinggi.

Rekaan

OnePlus 11 sekali imbas masih nampak seakan OnePlus 10 Pro atau OnePlus 10T. Beza paling ketara adalah pada bonggol kamera yang diperbuat daripada logam yang bercantum dengan bahagian kamera berbentuk bulat gergasi. Bonggol kamera dan kerangka peranti juga adalah daripada sekeping logam sama dengan warna krom yang nampak premium. Rekaan bonggol kamera ini juga dikatakan mengambil inspirasi daripada lohong hitam.

Walaupun begitu, bonggol kamera tidak terlampau tebal dan boleh diletakkan di atas permukaan rata tanpa masalah terjungkit yang serius. Tiada kerangka silikon percuma disediakan dalam kotak, dan ketika artikel ini ditulis masih tiada informasi mengenai kerangka pelindung rasmi akan dijual ataupun tidak. Sepanjang saya menggunakan peranti ini perasaan risau untuk jatuh itu sangat mengerikan. Tetapi panel belakang walaupun nampak berkilat, ia tidak licin dan selesa di tangan. OnePlus mengatakan warna Emerald Green pada unit yang diulas ini tidak akan ada kesan kotoran cap jari. Realitinya ia masih kelihatan apabila saya berpeluh.

Di sisi kanan peranti, terdapat butang kuasa dan paling menarik kembalinya suis lungsur notifikasi untuk tukar antara mod nada dering, mod getaran dan mod bisu. Di sisi kiri hanya ada butang laras suara sementara di atas ada lubang kekisi audio dan mikrofon. Bergerak ke bawah ada kekisi speaker, lubang mikrofon dan slot kad SIM.

Di hadapan, ganggang telefon kelihatan pada bezel atas, skrin pula ada lubang untuk kamera swafoto. Rekaan skrin adalah melengkung tetapi tidak begitu dalam dan cukup selesa untuk menikmati pelbagai kandungan dalam penggunaan harian.

Di tangan, OnePlus 11 rasa seperti memegang OnePlus 10T cuma terasa lebih berat. Jika tutup mata dan pegang sebelah menyebelah, sukar untuk dibezakan dari segi kemasan dan saiz cuma bahagian kamera sedikit lebih berat. Apa-apa pun, secara keseluruhan OnePlus 11 adalah sebuah peranti mercu yang cukup premium.

Perisian

Sejak OnePlus menjadi sub-jenama kepada Oppo, Oxygen OS dan Color OS seakan tiada beza. Malah semasa Oxygen OS 13 diumumkan senarai log perubahan adalah sama dengan Color OS 13. Rekaan antaramuka juga nampak sama, begitu juga dengan ciri dan fungsi. Tetapi pengalaman penggunaan adalah tidak sama. Kerana Fluid Experience yang terkenal pada OnePlus, iaitu pengalaman penggunaan yang lancar itu masih dapat dirasai. Malah elemen OnePlus terkenal seperti Zen Mode, OnePlus Shelf dan pelancar permua Game turut masih ada. Walaupun nampak serupa, kaedah penggunaan yang lebih kurang sama, tetapi pengalaman itu berbeza.

OnePlus 11 menggunakan Snapdragon Gen 2 yang dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X + 12GB memori maya dan storan dalaman 256GB UFS 4.0 yang menyumbang kepada prestasi pantas pada Oxygen OS 13. Selama tiga minggu penggunaan lengah masa langsung tidak berlaku dan pengalaman penggunaannya mirip Google Pixel dengan Android asli.

Oxygen OS 13 juga tidak mempunyai banyak aplikasi gendut. Malah beberapa aplikasi sedia terpasang yang ada adalah tidak menjengkelkan. Paling penting, tiada iklan langsung tidak kira dari pemasangan aplikasi di Play Store atau APK, aplikasi pengurus fail. Vivo mungkin perlu belajar dari “abang OnePlus” yang mampu menjual peranti tanpa iklan dan aplikasi yang tidak diperlukan pembeli.

Ciri kustomasi juga mirip dengan Android 13 asli di mana warna boleh diubah mengikut tema warna gambar latar, ada tambahan kawalan audio dengan haptik yang bagus, ciri Work Life Balance seakan mod Focus pada iOS, aplikasi kamera yang ringkas dan mesra pengguna, dan penggunaan OnePlus Shelf.

OnePlus kali ini turut menyertakan ciri pemantauan kesihatan bateri dan pengecasan yang lebih mendalam. Mula diperlihatkan pada OnePlus 10T, tetapi OnePlus 11 lebih jelas seperti Battery Health yang membenarkan pengguna memantau tahap kesihatan bateri seperti iPhone, ciri Wise Charging untuk pengecasan pantas 100W SuperVOOC di waktu malah dihadkan sehingga 80% dan hanya selesai selepas Subuh.

Banyak aplikasi Google turut digunakan secara lalai, menjadikan peranti lebih pantas kerana tidak bergantung kepada perkhidmatan sistem tersendiri. Untuk pengguna Oppo, jika anda menggunakan peranti OnePlus kali ini tidak akan rasa janggal begitu juga pengguna OnePlus yang ingin berpindah kepada Oppo. Mungkin akan ada sedikit beza ciri dan fungsi, tetapi saya boleh katakan 90% adalah sama dengan 100% pengalaman prestasi lancar seperti OnePlus janjikan dari dulu.

Prestasi Dan Penanda Aras

Dengan cip Snapdragon 8 Gen 2, memori mencapai 28GB RAM (16GB RAM LPDDR5X + 12GB memori maya) dan storan 256GB UFS 4.0 yang terkini, prestasi pada peranti ini adalah hebat cuma ada beberapa perkara yang saya ramal dan yakin akan berlaku – telah berlaku.

Menggunakan peranti ini sepanjang hari seperti bermain dengan kamera, menonton video, menstrim muzik, aktif di aplikasi media sosial tidak akan menimbulkan sebarang isy pemanasan. Cuma pemanasan hanya akan berlaku jika permua dimainkan melalui pelancar Game dan beberapa mod khas diaktifkan. Permua seperti COD Mobile, Asphalt 9 dan Marvel Snap boleh dimainkan dengan penuh mengasyikkan.

Skor penanda aras pada OnePlus 11 nampaknya seperti sebelum ini seakan telah dihadkan untuk mencapai pada skor biasa sahaja. Mungkin untuk menjaga kesihatan peranti, atau mungkin kerana Oxygen OS 13 masih versi awal. Perbandingan dengan Vivo X90 Pro, OnePlus mempunyai skor lebih lemah yang mana anda boleh lihat data di bawah;

AnTuTu 3D

  • OnePlus 111,104,135
  • Vivo X90 Pro 1,195,548
  • iPhone 14 Pro Max 974,941

Geekbench 5

  • OnePlus 11 – 955/4056
  • Vivo X90 Pro – 1376/4262
  • iPhone 14 Pro Max 1875/5469

3DMark

  • OnePlus 113712
  • Vivo X90 Pro3732
  • iPhone 14 Pro Max 3373

Walaupun kelihatan lebih rendah dengan Vivo X90 Pro, penggunaan saya pada OnePlus 11 adalah lebih baik. Jadi, pengoptimasian perisian adalah lebih penting dan bukannya bergantung kepada skor penanda aras sahaja yang sekadar ujian sintetik.

Kamera

Untuk kamera, OnePlus 11 menggunakan konfigurasi 50MP sudut lebar Sony IMX890 f/1.88, OIS+EIS + 48MP sudut ultra-lebar Sony IMX581 f2.2 + 32MP sensor telefoto potret Sony IMX709 f/2.0, 2x zum optikal. Turut tersedia pada peranti ini adalah sensor pengecaman warna-cahaya 13-saluran Accu-spectrum, kamera swafoto 16MP Sony IMX471 f/2.45. OnePlus sekali lagi bekerjasama dengan Hasselblad untuk teknologi Hasselblad Camera for Mobile.

Tadi saya katakan OnePlus bekerjasama dengan Hasselblad dan saya menggunakan peranti ini bersebelahan dengan Vivo X90 Pro yang bekerjasama dengan Zeiss dan turut menggunakan sensor 1-inci pertama di Malaysia. Tetapi hasil gambar pada OnePlus 11 adalah lebih jelas dengan butiran dipelihara dengan baik, kemudian mod potret dengan kesan bokeh seakan DSLR lensa Hasselblad yang realistik, kemampuan swafoto yang tidak mempunyai masalah kulit terlampau lembut, mempunyai fokus yang yang pantas dan terbaik serta penukaran antara mod sudut ultra-lebar ke sudut lebar yang sangat lancar tanpa ada beza warna yang ketara.

Kemampuan mod malam nampak cantik, tetapi bukan dalam minat saya kerana saya rasakan Vivo X90 Pro lebih baik. Mungkin kerana OnePlus hanya ada satu OIS berbanding Vivo yang ada dua. Tetapi mod XPan pada peranti ini nampak unik walaupun tidak memelihara butiran yang baik – hasil gambar nampak klasik dan cantik cukup untuk berlagak di media sosial.

Galeri Potret

Galeri Mod Malam

Apa yang saya tidak suka pada kamera OnePlus 11 adalah, aplikasi kamera yang agak asas dan tidak banyak fungsi tambahan menarik seperti Vivo. Mod RAW+ pada peranti ini walaupun nampak baik, tetapi kerana bukan sensor 1-inci penggunaan mod Pro adalah tidak begitu menarik. Sebaliknya peranti ini adalah telefon pintar untuk kamera SOOC, Straight out of camera. Tetapi OnePlus ada ciri TurboRAW yang memproses imej RAW kepada hasil HDR yang terang dan cantik tanpa masalah cahaya mengganggu subjek dalam gambar.

Galeri Lain-Lain

Untuk kualiti video, OnePlus 11 masih tidak mempunyai hasil yang memuaskan. Sebaliknya masih lebih kurang sama dengan sebelum ini, di mana hasil warna yang cukup natural, penstabilan gabungan optikal dan perisian serta butiran yang boleh diterima.

Telefoni & GPS

Kemampuan panggilan telefon dan sambungan data mudah alih pada OnePlus 11 sudah boleh saya agak, iaitu standard untuk sebuah peranti mercu Android. Kualiti suara adalah jelas dan lantang, sambungan 5G yang stabil di kebanyakan kawasan Kuala Lumpur dan WiFi juga stabil dan tiada masalah terputus.

OnePlus juga menyertakan sokongan VoWiFi dan VoLTE dan eSIM, di mana ciri ini sudah menjadi semakin popular untuk kebanyakan peranti Android. Penggunaan GPS juga baik sekali, mengunci lokasi adalah pantas dan tepat serta mampu memberikan arahan selok-belok dengan baik.

Audio

Peranti ini turut memfokuskan kepada kualiti audio, yang mana sokongan Dolby Atmos yang mantap melalui Apple Music memberikan pengalaman pendengaran yang memuaskan dengan bass yang cukup dalam, vokal yang jelas dan seimbang. Kualiti yang berani saya katakan hampir setaraf dengan peranti mercu yang dijual pada harga lebih mahal dari OnePlus 11.

Bukan itu sahaja, sokongan audio pada TWS juga ditambahbaik dengan ciri audio spatial terus terbina dalam Oxygen OS 13 dan apabila dipadankan dengan OnePlus Buds Pro 2 – pengalaman pendengaran itu berbeza. Sedikit lebih baik berbanding peranti Xiaomi, tetapi masih belum boleh menandingi Apple lagi.

Bateri

Agak aneh kenapa pada OnePlus 10T menyokong 150W SuperVOOC, tetapi pada OnePlus 11 sokongan pengecasan pantas hanyalah 100W SuperVOOC. Sokongan pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik juga telah dibuang. Satu penurun tarafan berbanding OnePlus 10 Pro sebelum ini.

Walaupun begitu, ketahanan bateri pada peranti ini adalah menakjubkan. Penggunaan berat tiada masalah untuk mencapai 7 jam SOT dengan aktif bermain permua, menggunakan kamera, menstrim video dan audio serta menggunakan aplikasi media sosial. Pada penggunaan ringan pula tempoh 8-9 jam SOT boleh dicapai. Pengecasan pantas 100W mengisi semula bateri dari 1% ke 100% dalam masa 25 minit yang mana cukup pantas. Pengecas ini diberikan dengan setiap pembelian peranti.

Pesaing

OnePlus 11Vivo X90 ProiPhone 14 Pro Max
6.7″ Super Fluid AMOLED, LTPO, QHD+, 120Hz, Dolby Vision, HDR10+6.78″, AMOLED, QHD+, 120Hz, HDR10+6.7″ Super Retina XDR OLED, FHD+, Dolby Vision, 120Hz
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Mediatek Dimensity 9200 (4nm)
1 X 3.05 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Apple A16 Bionic (4nm)
2 X 3.43 GHz Firestorm
4 X ? GHz Icestorm
Adreno 740Arm Immortalis-G715GPU 5 Teras
16GB LPDDR5X12GB LPDRR56GB LPDDR5
256GB UFS 4.0256 GB UFS 4.0128/256/512/1000 GB NVMe
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Sudut Lebar), OIS
32MP, f/2.0, (Telefoto)
48MP, f/2.2 (Ultra-Lebar)
Hasselblad Camera for Mobile, XPan Mode
Kamera Utama
50 MP, 1″, f/1.75, (Sudut Lebar), OIS
50 MP, f/1.6, (Telefoto, 2x Zum Optikal), OIS
12 MP, f/2.0 (Sudut Ultra-Lebar)
4K 60p, Zeiss T*
Kamera Utama
48MP, f/1.8 (Sudut Lebar), OIS
12MP, f/2.8 (Telefoto 3X Zum Optikal), OIS
12MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
IP64IP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 100W)4870 mAh (Berwayar 100W)4323mAh (Berwayar 20W)
RM 3299 (8/128 GB)
RM 3599 (16/256 GB)
RM 4999 (12/256 GB)Harga bermula RM 5799

Apa ada dalam kotak?

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima.

  • 1x OnePlus 11
  • 1x Pengecas tiga pin 100W.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Set pelekat dan buku panduan.

Kesimpulan

Sepanjang menggunakan OnePlus 11 5G ini, saya boleh katakan ini mungkin peranti mercu kegemaran saya setakat ini. OnePlus memberikan pengalaman penggunaan yang lancar, pantas, bateri yang tahan, kamera yang cukup hebat serta binaan yang premium dan nampak mewah. Tetapi sayang sekali, peranti ini bukan peranti mercu yang sempurna kerana tiada sokongan perlindungan IP68, tiada pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik.

Jika anda boleh hidup tanpa dua ciri yang sepatutnya boleh menjadikan OnePlus 11 sebagai peranti mercu terbaik dan inginkan pengalaman penggunaan kamera SOOC terbaik – inilah peranti untuk anda. Harga jualan ketika artikel ini ditulis masih belum diumumkan lagi, tetapi berdasarkan pemantau set import model 16/256 GB dijual pada harga sekitar RM3200. Jadi saya menganggarkan peranti ini akan dijual di Malaysia pada harga bermula RM3299. Jika ini adalah harga jualannya, OnePlus 11 mungkin menjadi pembunuh peranti mercu premium kerana Vivo X90 Pro dijual pada harga RM4,999 dan Samsung Galaxy S23 Ultra pula mencapai RM7,199.


Pro

  • Skrin yang cantik dan pantas setanding peranti mercu premium.
  • Sokongan Dolby Vision.
  • Cip Snapdragon 8 Gen 2 yang berkuasa dipadankan dengan RAM dan memori pantas.
  • Ketahanan bateri yang hebat dengan pengecasan pantas 100W.
  • Kualiti kamera Hasselblad yang baik.
  • Prestasi dan perisian yang sedap digunakan.

Kontra

  • Tiada perlindungan IP68, tetapi hanya IP64 (kalis percikan)
  • Tiada sokongan pengecasan nirwayar dan berbalik.
  • Rekaan antaramuka yang tiada keunikan tersendiri.
  • Rekaan peranti yang nampak lebih kurang sama dengan model tahun lalu.

Komen ()