Setakat ini, Amazfit hanya menawarkan versi mini untuk jam tangan di bawah model GTS. Ia nampaknya bakal diperluaskan untuk model GTR dan beberapa gambar serta maklumat tertiris mengenainya telah mula diperlihatkan. Ini termasuklah rekaan penuh untuk tubuh jam tangan dan kotak pembelian, di samping spesifikasi utama.
Seperti namanya, Amazfit GTR Mini akan menjadi model yang lebih asas berbanding GTR premium sebelum ini. Melaluinya, skrin sesentuh AMOLED bulat sebesar 1.28-inci dan kerangka tahan keluli tahan karat digunakan. Ia juga dilihat mempunyai satu butang fizikal di sebelah kanan untuk kawalan lebih pelbagai. Tali jam pula sejenis silikon dengan beberapa pilihan warna disediakan, seperti Navy Blue, Pink dan Black.
Dari segi fungsi, ia akan dilengkapi dengan pelbagai ciri penjejakan seperti kiraan nadi, degupan jantung sepanjang hari, pola waktu tidur, oksigen dalam darah dan tahap tekanan. Sebanyak 120 mod sukan turut sama diberikan dengan ciri pengesanan aktiviti secara automatik. Terdapat juga ciri GNSS disertakan untuk sokongan GPS, QZSS, BEIDOU, GALILEO.
Kapasiti bateri pula sebesar 500mAh, selanjutnya tambatan pada peranti pintar pula boleh dilakukan dengan sokongan Bluetooth 5.1 LE. Tiada tarikh pelancaran yang didedahkan setakat ini. Tetapi ia dijangka boleh diadakan dalam beberapa minggu mendatang.