Selain Samsung Galaxy S23 dan Galaxy S23+ , Samsung Galaxy S23 Ultra turut dilancarkan pagi ini dengan spesifikasi yang lebih mercu serta rekaan yang nampak lebih premium. Jika S23 dan S23+ menerima rekaan Floating Camera baharu, S23 Ultra pula menerima tubuh yang lebih berkotak pada bahagian sisi.

Samsung Galaxy S23 Ultra masih yang dilengkapi skrin 6.8″ Dynamic AMOLED 120HZ FHD+ yang menyokong paparan HDR10+ dari jenis LTPO yang boleh menurunkan kadar segar semula sehingga 1Hz. Terdapat juga sistem Vision Booster yang memastikan imej masih jelas dalam apa juga tahap keterangan skrin. Stylus S Pen boleh digunakan pada skrin dengan ia diletakkan dalam tempat simpanan terbina di bawah peranti.
Cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy digunakan dengan dipadankan dengan memori 12GB LPDDR5X, storan sehingga 1TB UFS 4.0 dan bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecas pantas 45W. Pengecasan nirwayar boleh dilakukan dengan kuasa 15W dan berbalik pula dengan kuasa 4.5W. Tiada peningkatan pada kapasiti bateri atau pengecasan dilakukan tahun ini.

Tubuh masih lagi mempunyai kemampuan kalis air serta debu IP68. Dari segi ketahanan hentakan pula, kaca Gorilla Glass Victus 2 digunakan di hadapan dan belakang peranti. Menurut Corning kaca ini boleh menahan hentakan jika terjatuh dari ketinggian sehingga 2 meter.
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP ISOCELL HP2, ultra sudut lebar 12MP, telefoto 10MP sehingga 3X secara optikal dan telefoto 10MP sehingga 10 kali optikal serta 100 digital. Di hadapan pula kamera 12MP digunakan untuk swafoto bukan lagi 40MP seperti pada S22 Ultra.

Menurut Samsung, sensor gergasi 200MP mampu menghasilkan gambar yang lebih tajam, jelas, kurang hingar dan warna yang lebih baik. Ia menggantikan sensor 108MP yang digunakan tahun lalu. Tahu lalu Nightography menjadi sandaran tetapi tahun ini Astrophotography pula menjadi tarikan.

Dengan hanya berbekalkan tripod, gambar angkasa yang menawan dan jelas boleh diambil oleh semua pengguna S23 Ultra. Aplikasi Expert RAW turut ditambah baik dengan kemampuan mengambil gambar pada resolusi 50MP yang lebih besar.
Sistem operasi One UI 5.1 yang berasaskan Android 13 digunakan kali ini dengan ia menambah ciri kustomasi skrin kunci yang lebih pelbagai, widget yang boleh digabungkan dan sekuriti yang dipertingkatkan. Pilihan warna pula adalah Phanton Black, Green, Cream dan Lavender. Harga jualan Samsung Galaxy S23 Ultra di Malaysia ialah.
- Samsung Galaxy S23 Ultra (256GB) – RM5,699
- Samsung Galaxy S23 Ultra (512GB) – RM6,199
- Samsung Galaxy S23 Ultra (1TB) – RM7,199
Bagi para pengguna yang berminat, boleh pra-tempah telefon pintar ini melalui laman rasmi Samsung hari ini. Gunakan kod “AMGS23R” dan dapatkan diskaun tambahan RM200 pada pra-tempahan.
