Samsung hari ini telah melancarkan siri Samsung Galaxy S23 mereka, sebagai peranti mercu tahun ini. Selain telefon pintar, Samsung turut melancarkan siri Galaxy Book3 mereka iaitu laptop Windows 11 baharu. Terdapat tiga model utama iaitu Galaxy Book3 Ultra yang paling premium, Galaxy Book3 dan juga Galaxy Book3 360 dengan skrin sesentuh boleh lipat menjadi tablet.
Samsung Galaxy Book3 Ultra
Laptop ini hadir dengan skrin AMOLED 16-inci beresolusi 2880×1800 dengan kadar segar semula 120Hz dan juga sokongan warna HDR500. Ia dijana dengan pilihan cip pemprosesan Intel Core i9-13900H yang dipadankan dengan pilihan kad grafik Nvidia GeForce RTX 4070 8GB RAM GDDR6. Untuk memori ia menawarkan RAM mencapai 32GB LPDDR5 dan storan sehingga 1TB NVMe SSD kekal dan tidak boleh dinaiktaraf.

Ciri lain pada Galaxy Book3 Ultra adalah menyokong kamera web HD penuh, WiFi 6E. Bluetooth 5.1, speaker stereo (kuad) AKG Dolby Atmos dengan amplifier terbina, port sambungan HDMI, 1x USB-A 3.2, 2x USB-C Thunderbolt 4, pembaca kad mikroSD, bicu audio 3.5mm dan juga pad sesentuh pada kedudukan yang aneh ke arah kiri.
Galaxy Book3 Ultra dibina dengan bahan aluminium agar nampak premium dan mempunyai berat sekitar 1.79 kg. Skrin menggunakan rekaan bezel nipis, papan kekunci bersaiz penuh, rekaan keseluruhan juga nampak seksi. Kedudukan speaker adalah di sisi agar audio dapat disampaikan dengan baik.

Galaxy Book3 Ultra menjalankan Windows 11 Home serta turut mempunyai bateri 76Wh dengan sokongan pengecasan pantas 100W.
Samsung Galaxy Book3 Pro + Book3 Pro 360
Laptop ini pula adalah lebih ke arah laptop biasa untuk produktiviti serta tugasan lebih ringan. Ia kelihatan seakan sebuah MacBook dengan skrin bezel nipis tanpa takuk, tetapi mengekalkan bahan binaan aluminium sama seperti Ultra. Kedudukan pad sesentuh juga sama aneh kerana ke arah kiri.
Saiz skrin adalah 14-inci atau 16-inci AMOLED dengan nisbah paparan 16:10 beresolusi 2880×1800, 120Hz dan HDR500. Cip pemprosesan mempunyai pilihan Intel Core i7-1360p dengan cip grafik Intel Iris Xe. Memori pula 16GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 512GB NVMe SSD. Port sambungan adalah bicu audio 3.5mm, 2x USB-C Thunderbolt 4, 1x USB-A 3.2, 2x USB-C 3.2 dan HDMI. Sementara sokongan WiFi 6, Bluetooth 5.1 dan pembaca kad mikroSD turut dikekalkan.

Berat laptop adalah dari 1.17 kg sehingga 1.56 kg. Galaxy Book3 Pro turut mempunyai kuad speaker AKG Dolby Atmos, kamera web HD penuh, bateri sehingga 76Wh dengan pengecasan pantas 65W. Laptop ini turut menjalankan Windows 11 Home.

Model Book3 Pro 360 pula hanya mempunyai skrin AMOLED 16-inci dengan sokongan kadar segar semula 120Hz dan HDR500. Skrin juga adalah jenis sesentuh dan boleh dilipat 360 darjah untuk digunakan bersama S-Pen. Pilihan cip pemprosesan adalah sama, iaitu pilihan sehingga Intel Core i5 atau i7 generasi ke-13 dengan memori hanya 16GB RAM LPDDR5 serta storan dalaman 512GB NVMe SSD.
Model ini juga lebih berat berbanding model biasa iaitu 1.8 kg. Bateri pula adalah 76Wh dengan pengecasan pantas 65W. Lain-lain spesifikasi adalah sama dengan Galaxy Book3 Pro biasa.
Samsung Galaxy Book3 + Galaxy Book3 360
Seperti model Pro, binaan dan rekaan adalah lebih kurang sama. Tetapi Galaxy Book3 kelihatan lebih normal kerana kedudukan pad sesentuh di tengah seperti kebanyakan laptop. Model ini adalah model dengan jualan harga lebih murah berbanding Pro dan Ultra.
Terdapat hanya satu skrin iaitu 15.6-inci panel IPS, kadar segar semula hanya 60Hz, resolusi 1920×1080 FHD dengan nisbah paparan 16:9. Cip pemprosesan juga mempunyai pilihan sehingga Intel Core i7-1355U, cip grafik Intel Iris Xe, memori sehingga 16GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman mencapai 512GB NVMe SSD.

Sokongan WiFi 6, Bluetooth 5.1 turut masih ada dengan port sambungan 1x USB-C Thunderbolt 4, 1x USB-A 3.2, 1x USB-C 3.2, 1x HDMI, bicu audio 3.5mm dan juga pembaca kad mikroSD. Berat 2.44 kg menjadikan Galaxy Book3 laptop paling berat Samsung dalam siri ini. Sistem audio adalah stereo asas dengan Dolby Atmos tanpa AKG dan kamera web juga hanya HD. Bateri juga kecil iaitu 56Wh dengan pengecasan pantas 65W.

Model Book3 360 pula ditawarkan dengan pilihan skrin AMOLED 13.3-inci atau 15.6-inci dengan sokongan kadar segar semula 120Hz dan HDR500. Sokongan S-Pen turut disertakan kerana menggunakan skrin sesentuh boleh lipat 360 darjah. Cip pemprosesan adalah lebih kurang sama, iaitu pilihan sehingga Intel Core i7-1360P – cuma versi ini menggunakan siri P dan bukan U.
Aneh sekali, model ini mempunyai jisim lebih ringan iaitu 1.82 kg dan 2.24 kg berbanding model biasa 2.44 kg. Bateri pula adalah 61.1Wh dan 68Wh dengan pengecasan pantas 65W. Lain-lain spesifikasi adalah sama dengan Galaxy Book3 biasa.
Harga jualan bagi model Galaxy Book3 Ultra bermula dari RM10,238 (penukaran mata wang dari USD), sementara barisan Galaxy Book3 Pro/Book3 Pro 360 mencapai lebih RM8105 untuk model asas.
Kesemua Samsung Galaxy Book3 tidak akan dipasarkan di Malaysia. Masih tidak pasti kenapa laptop-laptop hebat ini tidak ditawarkan, kerana spesifikasi yang menarik dan rekaan yang menarik ini pasti akan disukai ramai peminat peranti Samsung.
Apa kata anda mengenai laptop Galaxy Book3 ini?