Cari @ Amanz

Ulasan – Gandakan Produktiviti Anda Bersama ASUS ZenBook Pro 16X OLED

Oleh Nazrin

Link Copied!

Siri komputer riba ASUS ZenBook dibangunkan khusus untuk mereka yang mahukan gabungan rekaan dan juga prestasi premium untuk pelbagai tujuan produktiviti dan juga riadah. Salah satu model baru yang diperkenalkan oleh mereka pada tahun lepas ialah komputer riba ASUS ZenBook Pro 16X OLED, iaitu sebuah komputer riba yang dibangunkan khas untuk pereka digital.

ASUS ZenBook Pro 16X OLED
Skrin16″ 4K, (4096 × 2560 pixel)
OLED, 60Hz
CPUIntel Core i9-12900H
GPUNVIDIA GeForce RTX 3060 8GB GDDR6
RAM16GB DDR5-5200MHz 
Storan1TB M.2 NVMe PCIe
Kamera Utama1080p Infra Merah
I/O1 x USB 3.2 Gen 2 Type-A
2 x Thunderbolt 4
1 x HDMI 2.1 output
Kunci Kensington
Bateri61.6 WHr
Pengecasan 230W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6e
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanWajah Windows Hello
Harga JualanRM11,999

Skrin

Paparan skrin merupakan salah satu daripada aspek paling penting untuk komputer riba ini. Ia menggunakan panel OLED HDR NanoEdge bersaiz 16 inci dengan resolusi 4K dengan kadar segar semula 60Hz.

Dari segi kemampuan mengolah warna pula, paparan skrin komputer riba ini boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3, sebanyak 1.07 bilion warna dan mempunyai nilai kecerahan 550 nit yang mana ia juga hadir dengan pengesahan DisplayHDR True Black 500 yang bukan sahaja sangat bagus untuk tontonan siri filem dan televisyen kegemaran anda, tetapi juga untuk mengolah video dengan warna-warna yang jitu.

Sebagai komputer riba produktiviti, paparan skrin ini juga hadir dengan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi dan ini membolehkan lebih banyak kandungan diperlihatkan pada paparan skrin. Dalam pada itu ia juga hadir dengan fungsi skrin sesentuh dan ini memudahkan pengguna untuk zum masuk ke kandungan yang dimahukan dengan cepat dan mudah.

Lebih hebat lagi, sudut pandangan paparan skrin ini juga hampir 180 darjah tanpa kehilangan butiran ketajaman mahupun olahan warna, membolehkan komputer ini digunakan sebagai peranti kolaborasi bersama yang cukup baik sekali.

Satu kekurangan yang dapat diperlihatkan ialah oleh kerana paparan ini adalah paparan OLED, masih terdapat isu silau dimana sumber cahaya akan dipantulkan dengan terang sekali pada paparan skrin ini. Ini tidak begitu mengacau penggunaan komputer riba ini, tetapi bergantung kepada kedudukan komputer riba ini, anda berkemungkinan akan berasa seperti diganggu oleh perkara ini.

Rekabentuk

ASUS ZenBook Pro 16X OLED ini hadir dengan rekaan yang menyerupai komputer riba gaming ROG Zephyrus yang menggunakan sistem penyejukan unik Active Aerodynamic System yang mana bahagian papan kekunci dinaikkan sedikit untuk membuka ruang yang membolehkan kipas penyejukan AAS ini untuk mengalirkan udara panas daripada komponen-komponen untuk penyejukan yang lebih pantas.

Komputer riba ini juga hadir dengan ketebalan sekitar 1.78cm dan ini membolehkannya dimuatkan kedalam pelbagai jenis beg galas walaupun ia mempunyai paparan skrin sebesar 16 inci. Dengan ketebalan ini juga, komputer riba ini dimuatkan dengan pelbagai jenis palam-palam input dan output.

Ini termasuklah dua palam Thunderbolt 4 yang juga menyokong Power Delivery dan kabel paparan DisplayPort, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm satu palam USB 3.2 Gen2 Type-A dan satu pembaca kad SD Express 7.0.

Walaupun komputer riba ini menyokong pengecasan menggunakan palam USB Type-C, penggunaan palam kuasa AC masih lagi digunakan kerana kuasa elektrik yang perlu dibekalkan kepada komponen CPU dan GPU apabila komputer riba ini digunakan untuk tujuan olahan grafik dan juga video.

Ini bermakna bahawa sekiranya anda membawa komputer riba ini untuk bekerja di luar pejabat, anda masih akan perlu membawa pengecas tersebut bersama anda. Ini juga akan kami terangkan sedikit apabila bercakap tentang bateri dibawah.

Papan Kekunci

Papan kekunci untuk komputer riba ini juga dilihat agak unik, dimana oleh kerana sistem penyejukan AAS yang digunakan, bahagian papan kekunci ini akan dinaikkan juga apabila bahagian paparan dinaikkan.

Ini dilihat mempunyai kesan dimana ia memberi pengguna sudut penggunaan papan kekunci yang lebih selesa digunakan, menurut editor video kami yang menggunakan komputer riba ini untuk mengedit video-video laman YouTube Amanz.

Kualiti papan kekunci ini sendiri juga dilihat cukup baik sekali, dimana kekuncinya ialah kekunci taktil dengan benjolan yang lembut. Bergantung kepada corak penggunaan anda, pengalaman menggunakan papan kekunci ini samada adalah sangat selesa, ataupun agak janggal.

Ini adalah kerana sudut penggunaan papan kekunci komputer riba ini adalah bergantung kepada sudut bukaan paparan skrin komputer riba ini. Penggunaan sistem penyejukan Active Aerodynamic System akan menaikkan sudut papan kekunci untuk mengalirkan haba yang lebih banyak untuk menyejukkan komponen-komponen ini.

Satu penambahan baru pada komputer riba ini ialah kehadiran roda sesentuh ASUS Dial yang boleh dimanfaatkan oleh pencipta kandungan digital untuk pelbagai jenis kegunaan seperti memilih warna dari roda warna dengan cepat dan mudah ataupun untuk menatal garis masa apabila sedang menyunting video.

ASUS dilihat bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Adobe untuk membangunkan sokongan untuk ciri ini, dan di Amanz, editor video kami memanfaatkannya dengan menggunakannya untuk menatal garis masa video, mengolah warna kandungan dan sebagainya.

Spesifikasi Dan Pengalaman Pengguna

Dari segi spesifikasi dalaman, model ASUS ZenBook Pro 16X OLED yang diulas kami ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i9-12900H dengan memori sebanyak 16GB dan juga storan dalaman sebesar 1TB.

Ia juga dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 yang cukup berkuasa untuk menyunting dan mengolah video dengan resolusi dari 1080p sehingga 4K tanpa masalah. Jika dimahukan, anda juga boleh menggunakan komputer riba ini untuk menggerakkan permainan pada resolusi Full HD dengan tetapan sederhana dan tinggi tanpa masalah, tetapi ini bukanlah fungsi utama komputer riba ini.

ASUS ZenBook Pro 16X OLED mungkin dibangunkan menggunakan asas binaan sebuah komputer riba gaming, tetapi ia hadir dengan beberapa perubahan khususnya dari segi gandingan perisian untuk menjadikannya sebuah komputer riba yang boleh dimanfaatkan sebagai sebuah komputer riba produktiviti untuk profesional kreatif.

Salah satu daripada penambahbaikan ini hadir melalui sokongan perisian NVIDIA Studio yang mana komponen grafik ZenBook Pro 16X OLED ini dioptimasikan untuk digunakan bersama-sama perisian produktiviti kreatif seperti Adobe Premiere, Filmora, DaVinci Resolve dan sebagainya.

Komponen yang secara lazimnya dikenali orang ramai untuk tujuan gaming kini boleh dimanfaatkan untuk tujuan produktiviti yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi.

Penyunting video di pejabat kami menggunakan komputer riba ini untuk sekian lamanya, dan pada pendapatnya, ASUS ZenBook 16X OLED ini cukup berkuasa untuk memotong, menyambung dan mengolah video tanpa sebarang isu lengah masa ataupun haba.

Bercakap mengenai haba, gabungan sistem penyejukan Active Aerodynamic System dan kipas IceBlade mengalirkan haba panas dari komponen komputer riba ini ke bahagian dengan cekap sekali, dimana kawasan papan kekunci yang secara lazimnya menjadi panas digunakan apabila menyunting dengan papan kekunci kini bukan lagi masalah kerana bahagian tersebut yang diangkat sedikit.

Dari segi bunyi kipas, ya kipas penyejukan komponen akan berpusing dan mengeluarkan bunyi tetapi ia tidak cukup kuat untuk menjadi masalah kepadanya. Dalam pada itu, jika ia menjadi isu kepada anda, penggunaan fon kepala atau telinga akan membantu dalam mematikan bunyi kipas tersebut.

Audio

ASUS ZenBook Pro 16X OLED juga menggunakan sistem pembesar suara Harman/Kardon yang hadir dengan sokongan Dolby Atmos terbina. Pembesar suara tersebut dipasang di sepanjang bahagian sisi papan kekunci ini, dan ia sangat membantu dalam aspek memastikan bahawa kualiti audio kerja yang diolah adalah berkualiti tinggi.

Ini juga memberi komputer ini kelebihan sebagai sebuah komputer riba riadah yang mana kualiti audio yang dimainkan pada video-video di platform seperti YouTube, Netflix, Amazon Prime dan sebagainya yang menyokong penggunaan teknologi audio berkualiti tinggi.

Treble bersama-sama nota bunyi tinggi yang tidak terlalu nyaring dapat didengari, dan dari segi kualiti bass, komputer riba ini mengejutkan kami dengan menampilkan kualiti bass yang cukup mendalam untuk sebuah komputer riba yang memfokuskan kepada produktiviti.

Bateri

Jangkahayat bateri komputer riba ini merupakan salah satu daripada aspek yang tidak begitu elok pada komputer riba ini. Dengan pengecasan penuh, komputer riba ini boleh bertahan selama sekitar tiga jam sahaja, tidak kira corak penggunaan pengguna.

Malah, dalam mod dikuasakan bateri, penyunting video kami mengatakan bahawa perisian suntingan video akan mengalami isu lengah masa, berkemungkinan besar kerana kelajuan cip pemprosesan yang dikurangkan apabila berada dalam mod ini.

Bukan itu sahaja, mod HDR terbina dalam Windows 11 juga akan dinyahaktifkan dan ini akan menyebabkan warna kelihatan sedikit lebih pudar apabila menonton ataupun menyunting video.

Isu bateri untuk komputer riba ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia adalah sebuah komputer riba pengganti desktop yang menawarkan spesifikasi berkuasa didalam rekaan nipis dan ringan. Sekiranya anda seorang yang bekerja diluar pejabat dengan komputer riba ini, nasihat kami ialah untuk membawa pengecas komputer riba ini bersama-sama dengan anda.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x ASUS ZenBook Pro 16X OLED.
  • 1x Bongkah pengecas USB-C.
  • 1x Kabel kepala 3 pin.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

ASUS ZenBook Pro 16X OLED ialah sebuah komputer riba kelas produktiviti premium yang hadir dengan keunikannya sendiri, seperti pengawal ASUS Dial dan juga rekaan sistem penyejukan Active Aerodynamic System yang memastikan bahawa bahagian papan kekunci kekal sejuk dan boleh digunakan untuk berjam-jam tanpa masalah.

Tanda harga RM11,999 mungkin agak tinggi untuk spesifikasi yang memuatkan cip pemprosesan Intel generasi ke-12 dan kad grafik NVIDIA kelas pertengahan, tetapi fungsi tambahan seperti penggunaan paparan skrin OLED beresolusi 4K bersama-sama dengan kepastian bahawa perisian produktiviti kreatif anda akan berfungsi dengan komputer riba ini tanp masalah adalah sesuatu yang tidak banyak jenama lain boleh berikan kepada anda ataupun syarikat anda.

PRO dan kelebihan

  • Rekaan nipis dan ringan
  • Komponen yang berkuasa
  • Sistem penyejukan yang membolehkan penggunaan jangka-masa lama
  • Ciri-ciri teknologi terkini seperti Thunderbolt 4 dan WiFi 6E

KONTRA dan kekurangan

  • Sudut papan kekunci yang mungkin sedikit kekok
  • Jangkahayat bateri yang rendah
  • Prestasi merudum apabila menggunakan kuasa bateri
  • Tanda harga premium

Komen ()