Elon Musk hari ini menyatakan yang mana Twitter akan mula berkongsi pendapatan pengiklanan mereka bersama para pencipta kandungan.
Elon mengatakan pendapatan pengiklanan daripada iklan yang dipaparkan pada bebenang Tweet seseorang pengguna tersebut akan dikongsikan bersama. Walaubagaimanapun, pengguna atau pencipta kandungan tersebut perlu melanggan Twitter Blue terlebih dahulu sebelum layak untuk perkongsian pendapatan ini.
Dengan langkah ini, Twitter dilihat ingin mengalakkan lagi pelbagai perkongsian dan interaksi yang berlaku pada platform tersebut – dan pada masa yang sama ingin mengelak orang ramai daripada berpindah ke platform lain.
Walaubagaimanapun, masih terdapat pelbagai persoalan termasuk kadar peratusan perkongsian pengiklanan, papan pemuka untuk pencipta kandungan, dan dimana pencipta kandungan perlu melihat lanjut untuknya. Twitter Blue juga ditawarkan secara terhad di beberapa buah negara sahaja buat masa ini.