Carian
Pandang Pertama Realme 10 – Peranti 4G Di Era 5G
February 7, 2023 Amy Maizuraa

Tidak dinafikan masih ada segelintir daripada pengguna yang tidak begitu mementingkan 5G di dalam telefon pintar mereka. Disebabkan inilah, kita masih boleh melihat kehadiran pelbagai peranti 4G yang membanjiri pasaran ketika ini. Dalam masa yang sama, pelbagai alternatif juga telah disediakan buat para pengguna.

Misalnya seperti Realme 10 4G dan kehadirannya untuk pasaran Malaysia sedia diacah secara rasmi pada 13 Oktober 2022. Tetapi kami di Amanz telah diberi akses awal bagi melihat penawaran pada peranti dengan lebih dekat. Teruskan membaca artikel pandang pertama ini bagi melihat serba sedikit mengenainya. Selanjutnya prestasi menyeluruh pula akan kami kongsikan dalam artikel ulasan yang akan datang.


Spesifikasi

REALME 10 4G
Skrin6.4″ AMOLED FHD+ (1080 x 2400 piksel), 90Hz
Nisbah aspek : 20:9 (~411 ppi density)
PemprosesMediatek Helio G99 (6nm)
Cip4 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8GB RAM
Muatan Dalaman128GB UFS2.2
Kamera Utama50MP, f/1.8, (Lebar)
2MP, f/2.4, (B&W)
Kamera Swafoto16 MP, f/2.5, (lebar)
Bateri5000mAh
Pengecasan pantas 33W (berwayar)
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MikroSD
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi & wajah
Harga JualanBelum Diumumkan


Rekaan Dan Skrin

Dari segi rekaan, Realme 10 4G tidak membawakan perbezaan yang jauh dengan peranti Realme 10 Pro 5G mereka sebelum ini. Tubuh sejenis plastik yang berkotak dan skrin rata digunakan. Manakala sisi yang melengkung keseluruhannya pula memberikan keselesaan sewaktu di genggaman tangan. Kami juga tidak menghadapi masalah untuk mengenalinya disebabkan amat selesa pada tangan mahupun disimpan di poket seluar.

Tidak terlalu berlebihan, tata hias minimalis menjadi pilihan Realme pada panel belakang peranti kerana boleh dianggap mampu menepati trend terkini generasi muda. Melaluinya gabungan tona hitam, biru dan kelabu yang dinamakan sebagai Rush Black memberikan mood santai bagi mencipta kelainan. Ia juga berkilauan dengan cara yang agak cantik.Sebagai pilihan terdapat juga Realme 10 Clash White dengan kombinasi warna terang seperti merah jambu, putih, ungu dan banyak lagi digunakan sebagai latar panel belakang peranti tersebut.

Skrin adalah sebesar 6.4-inci daripada keluarga AMOLED dengan resolusi FHD+ (2400 X 1080 piksel). Ini merupakan saiz standard untuk kebanyakan peranti Realme di mana mampu sahaja menyajikan pengalaman visual yang memadai. Dengan skrin AMOLED pula, skrin sudah tentunya mempunyai warna, kontra dan sudut tontonan yang baik. Hal ini bagaimanapun bukan sesuatu yang baharu berbanding generasi terdahulu iaitu Realme 9 4G. Peranti juga mempunyai nisbah skrin-ke-badan mencapai 90.8% dengan tiga sisi bezel nipis bersama dagu yang tebal.

Dagu tebal ini boleh dianggap sebagai perkara lazim pada sebuah peranti kelas pertengahan. Skrin AMOLED yang digunakan turut menyokong kadar segar semula 90Hz (High) tetapi tiada pensijilan HDR diberikan. Terdapat juga pilihan sama ada skrin 60Hz (standard) atau auto select (automatik) menerusi tetapan yang membantu dalam mengurangkan penggunaan bateri pada peranti. Selanjutnya kewujudan lubang kecil turut boleh dilihat pada sudut kiri atas dengan sokongan kamera swafoto tunggal.

Sisi kanan menempatkan butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Walau terdapat perbezaan yang jelas dan ketara berbanding generasi sebelum ini yang menyediakan pengimbas cap jari di skrin, pengalaman membuka peranti dengan pantas masih dapat dinikmati di sini. Kemudian ia juga dianggap lebih memudahkan penggunaan, tetapi kami memahami bahawa terdapat kekangan buat pengguna yang kidal. Butang laras audio dengan binaan yang kukuh dan selesa ditekan turut boleh ditemui pada sisi yang sama.

Selanjutnya slot kad SIM pula diletakkan pada sisi bertentangan. Melaluinya sebanyak dua SIM berbeza boleh digunakan sepenuhnya tanpa perlu berkongsi dengan kad mikroSD. Pembesar suara pula diletakkan pada bahagian bawah. Turut disertakan adalah port sambungan USB-C dan bicu audio 3.5mm yang memberi akses mudah kepada pengguna untuk mendengar muzik.

Perlu kami katakan, peranti ini tidak melepasi sebarang penarafan kalis air dan debu, pengecasan nirwayar mahupun NFC. Begitu juga pembesar suara yang hanya mono tetapi Realme memberi nilai tambah lain menerusi bicu audio 3.5mm yang memudahkan penggunaan fon telinga nirwayar. Ia juga menarik kerana ciri ini giat dihapuskan oleh pesaing terdekat sekaligus pengguna terpaksa menambah kos untuk mendapatkan aksesori tambahan. Hal menarik lain yang turut boleh dilihat apabila kepala pengecas diberikan secara percuma di dalam kotak pembelian.


Perkakasan Dan Perisian

Seperti namanya, peranti sekadar menyokong rangkaian 4G yang dijana dengan pemproses lapan teras MediaTek Helio G99. Memori pula sebesar 8GB RAM dan storan dalaman 256GB pada unit yang diterima oleh kami. Kombinasi yang memadai, namun peranti turut menyokong penambahan RAM secara maya yang boleh mencapai 8GB RAM secara maksimum.

Pada peranti diterima, jumlah RAM yang boleh digunakan adalah sehingga 16GB sekiranya perlu. Selain itu, sokongan mikroSD turut disediakan bagi pengguna yang memerlukan storan lebih besar. Berikut pula kami sertakan jumlah markah ujian penanda aras untuk peranti yang telah dibuat :

  • Geekbench 5 – 572/1743
  • Antutu 3D – 398,203

Dari segi perisian, antara muka Realme UI 3.0 berasaskan Android 12 digunakan pada peranti. Sebahagian besar ciri terbina dioptimumkan dengan baik, di samping turut membenarkan pengguna menetapkan tetapan mengikut keperluan. Ia juga menyokong kebolehan Split Screen, Flexible Windows dan Smart sidebar bertujuan memudahkan proses multi-tugas.

Ciri tambahan lain yang wujud seperti Game Toolkit pula menjadi hub tetapan untuk permua yang sedang dimainkan pada peranti ini. Seperkara lagi sebelum terlupa, Realme 10 4G juga mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 33W. Peranti boleh dicas semula secara berwayar menerusi port sambungan USB-C yang disediakan.


Tetapan Kamera

Realme 10 4G dilengkapi dua kamera utama dengan tetapan 50MP (utama) + 2MP (B&W) yang kemudiannya diikuti dengan kamera swafoto 16MP. Peranti ini juga membenarkan pengguna merakam video sehingga 1080P/30fps pada kedua-dua kamera, tetapi tiada sebarang ciri penstabilan video yang disediakan. Kebolehan zum pula sehingga 5x optikal, seterusnya meningkat kepada 10x digital.

Terdapat juga beberapa fungsi terbina di dalam aplikasi kamera seperti Night, Street,Video, Photo, Portrait, 50M dan More. Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya baik. Dalam masa sama, kebolehan ini turut boleh dimatikan secara manual menerusi tetapan yang tersedia di bahagian atas aplikasi kamera. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh.


Apa Ada Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima :

  • 1 x Realme 10 4G.
  • 1 x Kepala Pengecas 33W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.


Kesimpulan

Masih terlalu awal untuk menentukan tahap berbaloinya peranti di era 5G ini. Apa yang dapat kami simpulkan setakat ini, kemasan pada peranti mampu mencipta kelainan. Selanjutnya dirasakan tidak mengapa peranti terhad pada 4G memandangkan rangkaian 5G di Malaysia masih lagi kecil. Pilihan mod kamera terbina yang pelbagai membenarkan pengguna berkarya kreatif melaluinya, khususnya rakaman video lebih sinematik menerusi Film Mode.

Bateri 5,000mAh disertakan juga boleh dicas dengan sistem pengecasan pantas berwayar 33W. Peranti bakal dilancarkan di Malaysia pada 13 Februari hadapan dan kami juga akan mengemaskini harga jualannya untuk perkongsian bersama. Ulasan penuh juga bakal kami kongsikan dalam artikel seterusnya, nantikan.


Pro

  • Rekaan santai dan selesa di tapak tangan.
  • Skrin AMOLED dengan kadar segar semula tinggi
  • Kombinasi RAM dan storan dalaman memadai.
  • Bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W.

Kontra

  • Tiada sokongan 5G.
  • Tiada penarafan kalis air.
Komen