Google sedia menjadualkan sebuah acara khas pada minggu ini memfokuskan carian dan juga kecerdasan buatan. Menariknya, lebih awal daripada itu, kini Google telah pun memperkenalkan ciri carian dalam bentuk perbualan, dinamakan sebagai “Bard”.
Seperti ramai sedia maklum, Google sedia memperkenalkan sejumlah ciri-ciri carian berasaskan kecerdasan buatan dan terma berbentuk perbualan melalui Google Assistant dan beberapa penawaran lain. Melalui Bard, Google menawarkan lebih banyak ciri eksperimental – terutamanya dalam menjadikan carian dalam bentuk perbualan, dan turut menggunakan kecerdasan buatan.

Buat masa ini, Bard ditawarkan secara terhad kepada orang ramai. Ini sekaligus menjadikan carian di Google lebih baik lagi berbanding sebelum ini.
Integrasi Bard juga sekaligus memudahkan pengguna membuat perbandingan antara dua perkara dengan mudah, atau mendapatkan resipi masakan sesuai dengan bahan yang ada pada anda, serta pelbagai carian lain yang disesuaikan dengan anda.

Dengan pengumuman ini juga, ia dilihat Bard merupakan jawapan oleh Google terhadap ChatGPT. Malah, dengan kelebihan Google, data yang dipersembahkan melalui Bard dijangka lebih terkini jikalau berbanding dengan ChatGPT.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan berkenaan Bard ini, dan lihat bilakah kita semua akan dapat menggunakannya, termasuk sokongan dalam bahasa Malaysia.