Carian
Getty Images Menyaman Pembangun Stable Diffusion Kerana Menggunakan Gambar Tanpa Kebenaran
February 7, 2023 Effi Saharudin

Getty Images memfailkan saman ke atas Stability AI yang membangunkan kecerdasan buatan Stable Diffusion. Dalam dokumen yang difailkan di mahkamah Delaware, Getty mendakwa Stability AI menggunakan koleksi gambar milik mereka untuk melatih Stable Diffusion.

Sebanyak 12 juta gambar didakwa digunakan tanpa kebenaran yang kemudiannya membolehkan Stable Diffusion menjana gambar baharu berdasarkan input teks yang diberikan oleh pengguna. Jumlah ganti rugi yang diminta tidak dinyatakan. Kedua-dua pihak Getty dan Stability AI belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai saman yang telah difailkan.

Getty tidak mempunyai isu dengan gambar digunakan untuk melatih kecerdasan buatan asalkan bayaran dilakukan untuk menggunakannya. Mereka turut mempunyai isu gambar yang dijana Stable Diffusion hadir dengan tera air Getty Images yang boleh mengelirukan pengguna lain.

Komen