Cari @ Amanz

Perasan atau tidak, halaman carian Google hari ini dihiasi dengan ilustrasi seorang lelaki berkaca mata yang sedang melukis. Berlatarkan warna kuning dan coklat cair, terdapat juga gambaran komputer bersama beberapa huruf yang membentuk perkataan ‘Google’. Siapakah sebenarnya beliau yang menghiasi Google Doodle pada hari ini?

Beliau ialah Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail, yang merupakan seorang tokoh terkemuka dalam dunia animasi Malaysia. Beliau juga disebut sebagai perintis dalam penggunaan teknologi komputer dan aplikasi digital dalam animasi sekitar tahun 90-an.

Bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-67, Google khas bagi memperingati kehidupan dan kerjaya Kamn Ismail telah dihasilkan. Dalam pada itu, Google turut memuat naik beberapa video eksklusif perkongsian oleh keluarga dan rakan-rakan beliau.

Sedikit latar belakang mengenai beliau, minat terhadap seni dan lukisan mula tercetus sejak masih di bangku sekolah. Pernah bekerja di sebuah Syarikat berpangkalan di UK, McMillen Fim Company bagi menghasilkan filem Paper Tiger pada tahun 1975. Namun dek kekangan tertentu, Kamn terpaksa mengetepikan minat dan bertukar bidang kerja lain. Salah satunya menjadi seorang kerani pentadbiran bersama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Kembali kepada minat asal, Kamn kemudiannya menyertai Kharisma Pictures (M) Sdn Bhd untuk proses penghasilan siri animasi Usop Sontorian yang mempunyai 49 episod di antara tahun 1991 hingga 1997. Seterusnya beliau juga telah menjadi sebahagian daripada UAS Animation Studios (M) Sdn. Bhd. pula sebagai salah sorang pengarah untuk penghasilan siri animasi popular, Keluang Man pada tahun 1997.

Kamn selanjutnya bertekad menubuhkan syarikat sendiri iaitu Quest Animations (M) Sdn. Bhd. pada tahun 2001 untuk menerbit dan mengarah siri animasinya sendiri. Ini termasuklah Che Nat, Kumang, Toman 1, Kumang Lagenda Sarawak, Lagenda Kinabalu, Pusaka, Pejuang, Duwi, Kiddo Science World dan Mat Kilau.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd