Sewaktu acara CES 2023 yang berlangsung pada bulan lepas, ASUS telah memperlihatkan sejumlah komputer riba kelas gaming ROG baru yang dikuasakan oleh cip-cip pemprosesan terbaru keluaran Intel dan juga NVIDIA.
ASUS Malaysia telah mengesahkan bahawa dua daripada model komputer riba dalam penawaran ASUS ROG STRIX SCAR mereka, iaitu ROG STRIX SCAR 16 dan ROG STRIX SCAR 18 akan tiba ke pasaran tempatan pada pertengahan bulan Februari 2023 ini.

Bermula dengan paparan, ROG STRIX SCAR 16 dan 18 hadir dengan paparan ROG Nebula bersaiz 16 (Mini LED) dan 18 inci (IPS) dengan resolusi 2560×1600 dan kadar segar semula 240Hz dan nisbah paparan 16:10.
Komputer-komputer riba ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan komputer riba paling berkuasa oleh Intel, iaitu Intel Core i9-13980HX dengan memori DDR5 sehingga 64GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 1+1TB dan juga dikuasakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 untuk model SCAR 18 dan NVIDIA GeForce RTX 4080 untuk model SCAR 16.
Untuk pasaran tempatan, komputer-komputer riba ini turut ditawarkan bersama-sama dengan aksesori seperti ROG Backpack, fon kepala ROG Fusion II 300 dan tetikus gaming ROG Gladius III.

Jika anda masih mahukan komputer riba gaming yang berkuasa, tetapi tidak mahukan komponen-komponen gaming yang terlalu berkuasa, ASUS Malaysia turut memperkenalkan penawaran ASUS ROG STRIX G16 dan ROG STRIX G18.
Hadir dengan penawaran paparan IPS bersaiz 16 dan 18 inci juga, ia juga hadir dengan resolusi 2560×1600 dan kadar segar semula 240Hz untuk model 18 inci dan resolusi 1920×1200 dengan kadar segar semula 165Hz untuk model 16 inci.
Dari segi spesifikasi pula, model STRIX G18 dikuasakan dengan cip pemprosesan Intel Core i9-13980HX dengan memori DDR5 32GB dan juga storan sebesar 1TB. Untuk pilihan GPU pula, ia dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070.
ROG STRIX G16 pula dikuasakan cip pemprosesan Intel Core i7-13650HX dengan memori DDR5 16GB dan storan SSD 1TB.
Harga untuk komputer-komputer riba ini adalah seperti berikut:
- ASUS ROG STRIX SCAR 16 – RM13,999
- ASUS ROG STRIX SCAR 18 – RM18,999
- ASUS ROG STRIX G16 – RM5699
- ASUS ROG STRIX G18 – RM10,499

Pra-tempahan untuk komputer-komputer riba ini sudahpun bermula dari hari ini, 8 Februari sehingga 21 Februari 2023.