Hari ini, Mishaal Rahman telah berkongsi beberapa ciri dan fungsi menarik yang akan tiba pada Android 14. Banyak yang mirip ciri dari iOS serta ciri yang sudah lama diperkenalkan pada peranti Android oleh pengeluar China.

Pertama yang paling menarik adalah, Android 14 akhirnya akan membenarkan pengguna membuang aplikasi gendut yang dipasang oleh pengeluar atau syarikat telekomunikasi. Terdapat ruangan khas yang menyenaraikan aplikasi ini dan aplikasi mana yang tidak diperlukan untuk peranti beroperasi seperti biasa boleh dibuang.

Kedua adalah kemampuan klon aplikasi. Ciri yang sudah lama ada pada peranti Oppo, Xiaomi dan banyak lagi peranti keluaran China. Aplikasi media sosial boleh diklonkan membenarkan pengguna menggunakan aplikasi media sosial sama dengan dua akaun berbeza.

Ketiga pula adalah ciri mirip iOS mengenai akses kebenaran kepada storan dalaman, lebih spesifik fail-fail gambar. Dalam iOS apabila aplikasi meminta kebenaran mengakses gambar pengguna diberi pilihan sama ada ingin benarkan satu gambar sahaja atau akses keseluruhan storan untuk pilihan gambar lebih banyak. Ciri yang sama kini diuji pada Android 14. Secara tidak langsung ciri ini akan melindungi privasi peranti pengguna dari digodam atau berlakunya sebarang kerentanan sekuriti.

Bercakap mengenai privasi dan juga sekuriti, ciri keempat yang Google uji pada Android 14 adalah Advanced memory protection. Ciri ini adalah untuk melindungi memori peranti daripada sebarang pepijat atau kerentanan sekuriti lain. Ciri ini boleh mengelak dari masalah sistem tergendala.
Satu lagi ciri yang mengikut peranti keluaran China adalah kawalan gestur navigasi tatal dari sisi untuk kembali ke laman sebelum atau aplikasi sebelum. Dengan ciri baharu digelar sebagai Predictive Back Navigation, sebelum pengguna kembali ke aplikasi/laman sebelum akan Android 14 akan membenarkan pengguna lihat aplikasi apa atau laman apa yang akan kembali untuk mengelak sebarang aksi kembali yang tidak disengajakan.