Qualcomm telah hadir dengan Snapdragon X35 yang merupakan sistem 5G NR light Modem RF terawal di dunia untuk peranti 5G. Modem baharu ini menggabungkan binaan yang dioptimumkan dengan penambahbaikan sistem bagi mengembangkan ekosistem 5G ke lebih banyak produk seperti peranti boleh pakai premium dan IoT.

Qualcomm tidak berkongsi ukuran sebenar, namun ia dipercayai lebih kecil berbanding beberapa modem sedia ada. Ia juga dilengkapi dengan teknologi modem-RF canggih yang bertujuan mengurangkan penggunaan kuasa, meningkatkan liputan 5G, masa pendam lebih rendah dan meningkatkan hayat bateri. Peranti yang dikuasakan Snapdragon X35 juga berpotensi lebih menjimatkan kos dan menyediakan jangka hayat bateri lebih panjang berbanding peranti dengan jalur lebar mudah-alih biasa.

Snapdragon X35 juga menyokong GNSS dwi-frekuensi (L1+L5) untuk menawarkan kedudukan lokasi yang tepat. Ini adalah sesuai untuk peranrti boleh pakai premium seperti jam tangan pintar. Seterusnya modem turut menyokong rangkaian Sub-6GHz, FDD serta TDD tanpa sokongan mmWave bagi memenuhi keperluan pelbagai pasaran.
Selanjutnya Qualcomm menyasarkan terhadap industri pertanian, pembinaan, perlombongan, pendidikan, penjagaan kesihatan terhubung, bandar pintar dan AR/VR. Peranti yang berpotensi dikuasakan dengan modem ini termasuklah komputer riba dan PC yang disambungkan, sensor pintar, kamera pintar, penghala (router), tablet dan peranti boleh-pakai premium.

Menurut Qualcomm, pengeluar akan mula menguji peranti dengan cip tersebut bermula separuh pertama tahun 2023. Peranti kemudiannya dijangka dipasarkan secara komersial pula bermula separuh pertama tahun 2024 hadapan.