Carian
DJI Mini 2 SE Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula RM1599
February 9, 2023 Amy Maizuraa

DJI Mini 2 SE dilancarkan secara rasminya di Malaysia hari ini sebagai model kemaskini untuk dron bersaiz kompak serta boleh dilipat. Masih mengekalkan tubuh yang ringan kira-kira 249 gram, dron baharu ini juga dimuatkan dengan sokongan sistem transmisi OcuSync 2.0 yang membolehkan dron terbang dua kali lebih jauh berbanding generasi terdahulu.

Bukan itu sahaja, sistem baharu ini juga membolehkan dron merakam video yang lebih stabil meskipu pada jarak yang jauh. Turut disertakan adalah kamera dengan sensor CMOS 1/2.3 inci yang mampu mengambil gambar pegun pada 12MP dan merakam video mencapai resolusi 2.7K.

Kamera ini juga dipasang dengan gimbal tiga paksi bertujuan menstabilkan rakaman gambar dan video secara mekanikal. Seterusnya kamera juga membolehkan sokongan zum digital sehingga 4X sewaktu merakam video beresolusi HD.

Selanjutnya bateri yang disertakan pula mampu membolehkan dron ini terbang selama 31 minit dengan sekali pengecasan. DJI juga menawarkan pek pembelian kombo untuknya yang didatangkan bersama bateri tambahan, kipas dan sarung pelindung untuk dron.

DJI Mini 2 SE dijual di Malaysia pada RM1599 seunit. Kemudiannya meningkat kepada RM2149 apabila dibeli bersama pek kombo. Bagi yang berminat, ketersediaan adalah menerusi Shopee, Lazada dan pengedar yang sah di seluruh Malaysia.

Komen