Android dan iOS telah pun memperkenalkan ciri transkripsi audio dari video menjadi teks untuk memudahkan lagi komunikasi antara pengguna atau untuk membantu pengguna yang kurang upaya pendengaran.
Beberapa aplikasi turut menawarkan ciri ini terus terbina, jika pengeluar peranti masih tidak menawarkan ciri ini. Menariknya, ciri seperti ini berfungsi tanpa sambungan Internet dan segala data disimpan ke dalam peranti dan tidak dimuat naik ke pelayan aplikasi atau pengeluar peranti. Segala pemprosesan juga berlaku dari dalam peranti.
Terkini, WhatsApp dilihat menguji ciri transkrip mesej suara ke teks untuk iOS. WABetaInfo berkongsi tangkapan layar ciri ini, di mana teks tidak boleh dijana jika tiada perkataan yang jelas dari mesej suara dan mesej suara tidak sama dengan tetapan bahasa pada aplikasi.
Buat masa ini, masih tidak pasti bila ciri ini akan diperkenalkan. Sama ada terhad untuk iOS dan negara tertentu atau turut akan ditawarkan kepada pengguna Android dan diedarkan di seluruh dunia.