Membeli TV suatu ketika dahulu adalah semudah pergi ke kedai, pilih saiz yang ingin dibeli, bayar dan kemudian tunggu TV dihantar ke rumah. TV sebesar 21″ misalnya terlalu besar untuk dimasukkan ke dalam kereta dan juga berbahaya untuk dikendalikan seorang diri kerana ianya berat. Saiz skrin yang kecil dan TV menjadi semakin berat menghadkan teknologi tiub sinaran katod (CRT). Ini membuka lebaran kepada era TV skrin LCD yang nipis.

Namun begitu di tahun 2023, terdapat pelbagai jenis panel untuk TV pintar yang boleh dibeli sehingga mengelirukan pengguna. Kami sendiri mempunyai masalah membezakan antara panel-panel yang wujud kerana teknologi skrin TV bergerak lebih pantas berbanding skrin telefon, tablet dan komputer. Artikel ini diharap dapat membantu anda membezakan jenis skrin TV dan kemudian anda boleh memilih panel mana yang paling serasi dengan keperluan anda.
LCD TV

Ini panel paling murah yang sinonim dengan monitor laptop dan desktop. Ianya nipis tetapi kekurangan ialah ia tidak mampu menawarkan. Warna hitam yang sebenar kerana memerlukan sumber cahaya dari belakang. Sumber cahaya dari belakang ialah dari jenis lampu pendarfluor katod sejuk (CCFL). Akibatnya warna yang sepatutnya hitam nampak kelabu. Kekurangan lain ialah sudut pandangan yang kurang memuaskan dan tidak dapat dilihat jelas dalam bilik yang terang. Pada penghujung 2007, TV LCD memintas juala TV CRT buat pertama kali dalam sejarah.
TV LCD lebih nipis berbanding CRT tetapi adalah amat tebal mengikut standard model. TV setebal 2-3 inci adalah normal kerana CCFL perlu menyinar dengan menyeluruh untuk memberikan pencahayaan yang sempurna pada visual yang ingin dipaparkan.
LED LCD TV

LED TV sama sahaja dengan LCD TV cuma CCFL digantikan dengan lampu diod memancar cahaya (LED). Ini mengurangkan penggunaan tenaga, pengeluaran haba dan skrin yang lebih terang dapat dicapai. LED TV pertama dikeluarkan oleh Sony pada tahun 2005. Kerana teknologinya yang lebih baik, dengan pantas ia menggantikan LCD TV dengan CCFL. Kini semua TV LCD adalah dari jenis LED dan tiada lagi dari jenis CCFL ditawarkan.
Di bawah LED TV terdapat beberapa teknologi berbeza digunakan. Jenis Edge Lit meletakkan lampu LED hanya di bahagian bingkai TV. Akibatnya imej lebih gelap di bahagian tepi dan gelap di tengah. Apabila memaparkan imej yang sepatutnya hitam, bahagian berhampiran bingkai TV akan nampak lebih terang.
Kemudian ada juga Direct LED (DLED) yang meletakkan lampu pada keseluruhan bahagian belakang panel.Setiap satu lampu boleh dipadamkan untuk memaparkan imej gelap dalam sesebuah imej. Teknologi ini diberi nama Local Dimming. Akhir sekali ialah Full Array yang mempunyai lebih banyak lampu di bahagian belakang untuk kawalan keterangan skrin yang lebih baik berbanding DLED.
OLED TV

Panel Organic LED (OLED) yang ramai pasti tahu tentang kelebihan dan kekurangannya kerana ia kini adalah panel yang paling banyak digunakan pada telefon pintar. OLED tidak memerlukan sumber cahaya luaran untuk menerangkan skrin. Sebaliknya dalam lapisan OLED memancarkan cahayanya sendiri secara terus. Setiap pixel terdiri daripada LED berwarna merah, hijau dan biru. Gabungan tiga LED akan menghasilkan warna berbeza pada permukaan skrin OLED.
Kerana tiada lampu luaran, panel OLED adalah semakin nipis. Samsung OLED 4K S95B yang kami pernah ulas sebelum ini mempunyai panel TV yang lebih nipis berbanding sebuah telefon pintar. Skrin OLED juga lebih lentur membolehkannya digunakan untuk skrin TV melengkung. Kelebihan lain panel OLED ialah warna hitam yang lebih hitam tetapi dari segi keterangan TV LED adalah lebih baik.
Kekurangan lain ialah isu burn-in dimana imej kekal pada skrin walaupun selepas TV dipadamkan. Jika TV hanya memaparkan satu saluran untuk tempoh yang lama, logo (contohnya TV3) akan “terbakar” terus pada skrin yang mencacatkan pemandangan.
QLED TV

Quantum Dot LED (QLED) sebenarnya ialah jawapan Samsung kepada kekurangan teknologi TV OLED. Dari segi asasnya, QLED ialah sebuah panel LCD LED dengan teknologi quantum dot dengan lampu full array. Quantum dot ialah partikel semikonduktor bersaiz nano yang memancarkan warna berbeza apabila menerima sumber cahaya.
Berbilion QD diletakkan di antara lapisan skrin LCD dengan saiz berbeza. Warna yang dipancarkan adalah bergantung kepada saiz QD. QD yang mengeluarkan warna hijau misalnya adalah berdiameter 30 atom dan merah pula berdiameter 50 atom. Panel QLED boleh memaparkan keterangan yang lebih tinggi berbanding LED TV dan OLED tanpa isu burn-in. Tetapi dari segi ketepatan warna dan kontras, OLED masih lebih baik.
Kelebihan QLED yang lain ialah harganya lebih murah berbanding OLED untuk saiz TV yang lebih besar. “Murah” adalah subjektif di sini keran harga jualan TV QLED masih lebih mahal jika dibandingkan dengan TV LED. Antara syarikat yang mengeluarkan TV QLED ialah Samsung, Xiaomi dan Hisense.
Neo QLED TV

Akhir sekali ialah Neo QLED yang juga sebenarnya adalah sebuah panel LCD cuma dengan lapisan quantum dot dan sumber cahaya dari jeni mini LED yang lebih kecil. Setiap lampu mini LED adalah 1/40 saiz lampu LED yang digunakan pada panel QLED. Teknologi Neo QLED diperkenalkan oleh Samsung pada tahun 2021 untuk mempertingkatkan lagi teknologi QLED pada TV keluaran mereka.
Dengan gabungan mini LED dan QD, tahap hitam dan kontras yang lebih baik dapat dicapai kerana sumber cahaya yang boleh dikawal dengan lebih jitu. Ia masih BELUM sebaik OLED dari segi ketepatan warna dan tahap hitam sebenar. Tetapi jurang antara LCD dan OLED kini semakin kecil pada panel Neo QLED.
Panel ini juga tidak mempunyai isu burn in dan mampu mencapai tahap keterangan HDR sehingga 2000 nits. Neo QLED ialah tanda dagang yang digunakan oleh Samsung. LG mempunyai teknologi yang sama dengan menggunakan tanda dagang QNED.
MicroLED TV

MicroLED yang juga dikenali sebagai mLED, micro-LED, mLED atau µLED adalah teknologi yang melangkaui kemampuan OLED. Sumber lampu LED yang lebih kecil digunakan yang membolehkan kawalan keterangan dan warna hitam yang lebih jitu. Panel microLED menghasilkan sendiri sumber cahaya seperti OLED. Pada TV microLED sebesar 110″ misalnya, terdapat 25 juta lampu LED digunakan.
Tidak seperti OLED, bahan tidak organik seperti galium nitrat digunakan pada lapisan panel microLED. Lapisan panel juga lebih nipis berbanding OLED. Ia boleh menyala lebih terang dan lebih lama tanpa risau akan berlaku isu burn in. Keterangan yang lebih tinggi daripada OLED ini dicapai tanpa mengorbankan paparan warna hitam yang legap dan warna yang tepat. Ini ialah kemuncak teknologi panel TV kerana menggabungkan kekuatan teknologi OLED dan LED TV.
Panel microLED juga adalah modular dengan ia boleh digabungkan seperti bongkah LEGO untuk menghasilkan TV gergasi seperti Samsung The Wall dengan nisbah skrin mengikut kehendak pembeli. Kekurangan microLED ialah ianya sangat mahal dan hanya ditawarkan dalam saiz 110″ ke atas sahaja.
Ini ialah senarai jenis panel yang digunakan pada televisyen pintar di pasaran Malaysia sekarang. Diharap dengan artikel ini tiada lagi kekeliruan mengenai jenis panel yang paling serasi dengan keperluan anda.