iMac M1 tidak dinafikan adalah peranti yang nampak menarik, kerana merupakan komputer semua dalam satu yang berkuasa dengan cip Apple M1, speaker audio spatial, skrin 4.5K Retina display 24-inci, kamera 1080p, port sambungan USB yang pantas dan harga permulaan RM5,599.
Tetapi dengan kehadiran Mac Mini M2 pada harga permulaan RM2499 dan hanya sekitar RM1000 ke RM2000 untuk monitor berkualiti (jumlah sekitar RM3499 – RM4499), iMac M1 dilihat tidak begitu berbaloi kerana harga yang mahal berbanding cip M2 pada Mac Mini yang berkali ganda lebih berkuasa.

Mark Gurman melalui Bloomberg melaporkan yang, Apple mungkin akan hadir dengan iMac baharu – tetapi bukan dalam masa terdekat. iMac baharu mungkin hanya akan tiba pada hujung tahun 2023 ini sahaja. iMac 2023 dikatakan akan dijana dengan cip Apple M3 yang dibina berasaskan rekaan 3nm, yang pasti akan menawarkan prestasi lebih mantap dan efisien.
Turut tidak pasti adalah, iMac M3 nanti ini akan kekal dengan skrin 24-inci atau Apple akan mengembalikan saiz 27-inci mengimbau kembali model iMac lama.