Penggunaan robot tanpa input dari manusia untuk tugasan harian nampaknya semakin sering diperkatakan dan diperlihatkan baru-baru ini. Malah, kerajaan Jepun baru-baru ini telah mengubah undang-undang trafik di negara tersebut untuk membolehkan robot penghantaran barangan untuk digunakan secara lebih meluas di lebih banyak tempat.
Bermula April tahun ini, robot-robot boleh menggunakan jalan-jalan di sekitar Jepun untuk tujuan penghantaran barangan, termasuklah jalan raya dan juga laluan untuk pejalan.

Ini adalah selari dengan usaha kerajaan Jepun dalam memperkenalkan ujian rintis menggunakan robot autonomi tanpa kawalan manusia untuk tujuan menghantar barang ke lokasi-lokasi didalam dan diluar bandar.
ZMP, syarikat pembangun robotik disebalik program robot DeliRo kini sedang bekerjasama dengan Japan Post untuk menghantar surat dan barangan bersaiz kecil kepada penerima di kawasan Tokyo. Ujian perintis tersebut setakat ini memperlihatkan kebolehan robot tersebut untuk mengelak pejalan kaki tanpa sebarang masalah.
Buat masa ini, penggunaan robot ini dilihat sebagai satu cara untuk syarikat-syarikat memastikan bahawa surat dan barang-barang yang perlu dihantar dapat dihantar tanpa masalah, khususnya di kawasan luar bandar.