Cari @ Amanz

Hari ini ialah Hari Kekasih bagi sebilangan besar penduduk bumi. Tetapi di India ia adalah hari Realme 10 Pro 5G Coca Cola Edition dilancarkan secara rasmi selepas kewujudannya diacah sejak seminggu yang lalu. Seperti beberapa imej acah yang dikongsi, peranti ini ialah hasil usahasama rasmi antara Realme dan Coca Cola.

Peranti mempunyai rekaan bertemakan Coca Cola pada bahagian belakang. Sementara itu antaramuka peranti turut dikemaskini untuk turut bertemakan minuman berkarbonat nombor satu dunia. Ikon aplikasi, warna, gambar latar belakang, skrin kunci dan animasi ketika peranti dicas telah diubah berbanding Realme 10 Pro 5G edisi biasa.

Di India peranti ini hadir dalam kotak khas dengan setiap pembelian. Di dalamnya terdapat nombor mengesahkan ia adalah asli memandangkan hanya 600 unit sahaja ditawarkan. Terdapat figura Realmeow edisi khas Cola Cola dan pin mengeluarkan talam SIM yang berbentuk penutup botol Coca Cola. Harga jualan Realme 10 Pro 5G Coca Cola Edition ialah ₹20,999 (~RM1105) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd