Pada awal tahun ini, di acara Consumer Electronics Show di Las Vegas, ASUS telah memperlihatkan sejumlah komputer riba baru dalam pelbagai siri yang menawarkan pilihan komponen-komponen terbaru yang diperlihatkan oleh jenama-jenama seperti AMD, Intel dan NVIDIA.
Baru-baru ini, kami telah diberi peluang untuk melihat sendiri beberapa komputer riba ini, dan salah satu daripadanya ialah ASUS ROG STRIX SCAR 18, komputer riba gaming yang tampil dengan konfigurasi yang paling berkuasa dalam siri ini.
Rekaan
ASUS ROG STRIX SCAR 18 hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 18 inci dengan resolusi QHD+ 2560×1600 dan kadar segar semula 240Hz dan nisbah paparan 16:10. Walaupun menggunakan panel IPS, paparan yang digunakan pada komputer riba ini adalah paparan Nebula yang menjanjikan olahan warna yang jitu dan cerah, khususnya dengan pengesahan Pantone dan kemampuan untuk memaparkan 100 peratus gamut warna DCI-P3.
Paparan yang cantik ini juga dipadankan bersama-sama pembesar suara 5.1.2 yang terdiri daripada empat pembesar suara Smart Amp yang juga menggabungkan ciri Two-Way AI Noise Cancelling yang menjanjikan kualiti audio terbaik dan tidak mengganggu perbualan diantara anda dan rakan sepermainan ataupun sekerja apabila anda menggunakan aplikasi telesidang seperti Discord ataupun Microsoft Teams dan sebagainya.
Dari segi rekaan, komputer riba ini memperlihatkan gabungan rangka aluminum dan juga polikarbonat. Aluminum untuk bahagian paparan dan juga bawah komputer riba, dan polikarbonat pada bahagian papan kekunci.
Rangka polikarbonat ini cukup menarik khususnya kerana ia memperlihatkan komponen-komponen dalaman komputer riba ini, khususnya di bahagian atas papan kekunci. Bagi kami ini adalah sesuatu yang unik kepada komputer riba ROG STRIX SCAR ini, dan walaupun rangka tersebut diperbuat daripada bahan polikarbonat, ia tidak bermakna bahawa binaannya adalah berkualiti rendah.
Dari segi pilihan palam juga, komputer riba ini dilengkapi dengan palam-palam Thunderbolt 4. USB 3.2 Gen 2 dan palam HDMI 2.1 dan miniDisplayPort. Sama seperti apa yang kami katakan sebelum ini, anda akan dapat melihat sedikit rekaan dalaman komputer riba ini melalui rangka polikarbonat pada bahagian papan kekunci.
Sebagai pelengkap, ASUS ROG STRIX SCAR 18 ini juga hadir dengan sistem pencahayaan RGB terbina di bahagian papan kekunci, hadapan dan juga belakang komputer riba. Seperti biasa, perisian Armory Crate diperlukan untuk mengubah tetapan pencahayaan ini.
Spesifikasi
ASUS ROG STRIX SCAR 18 hadir dengan spesifikasi komputer riba yang paling berkuasa, menggabungkan penggunaan cip pemprosesan Intel Core i9-13980HX, penawaran memori DDR5 sehingga 64GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.
NVIDIA GeForce RTX 4090 untuk komputer riba merupakan kad grafik komputer riba yang paling berkuasa di pasaran, dan ia digunakan untuk menguasakan ROG STRIX SCAR 18 ini. Secara teorinya ia mampu menggerakkan permainan-permainan AAA moden pada resolusi 4K dengan kadar segar semula tinggi pada tetapan yang tinggi juga.
Sayangnya oleh kerana perisian grafik yang belum lagi dikemaskini, kami tidak berpeluang untuk menguji kemampuan penuh kad grafik tersebut, tetapi pihak ASUS telah menjanjikan bahawa prestasi untuk komputer riba ini adalah tidak seperti mana-mana komputer riba gaming premium yang pernah mereka lancarkan sebelum ini.
Walaupun komputer riba ini hadir dengan palam RJ45 LAN terbina, jika anda ingin mengurangkan selirat kabel di kawasan meja anda, ASUS ROG STRIX SCAR 18 ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E yang menjanjikan sambungan internet serba pantas.
Malah, sistem penyejukan komputer riba ini juga memperlihatkan rekaan baru yang menggabungkan penggunaan paip haba, kipas penyejukan serba baru dan juga cecair logam Thermal Grizzly Conductonaut untuk mengalirkan haba daripada komponen CPU dan GPU ke bawah dan kebelakang dengan lebih cekap.
Beralih kepada bateri pula, komputer riba ini hadir dengan bateri bersaiz 90Wh tetapi secara lazimnya ia akan perlu sentiasa dipasangkan ke sumber kuasa supaya ia boleh digunakan untuk jangkamasa yang lama.
Walaupun begitu, ASUS mengatakan bahawa penggunaan MUX switch yang mengubah penggunaan kad grafik akan sedikit sebanyak membantu dalam menjimatkan bateri komputer riba ini. Dari segi pengecasan pula, komputer riba ini boleh dicas menggunakan pengecas Power Delivery setinggi 100W, ataupun menggunakan pengecas 330W yang dibekalkan yang akan mengecas komputer riba ini dari 0-50 peratus dalam masa 30 minit sahaja.
Penutup
ASUS ROG STRIX SCAR 18 bukan sahaja hadir dengan komponen-komponen yang serba berkuasa tetapi juga paparan skrin terbesar yang pernah dilihat pada sebuah komputer riba ASUS. ASUS Malaysia mengesahkan bahawa pra-tempahan komputer riba ini sudahpun mula dibuka untuk pasaran tempatan.
Buat masa ini kami sedang menunggu sampel ulasan untuk dihantar kepada kami supaya kami boleh menguji sendiri samada komputer riba ini benar-benar berbaloi dengan tanda harga RM18,000 yang diminta.