Setiap kali ulasan di Amanz diterbitkan, kami menggunakan Geekbench 5 untuk melihat prestasi setiap peranti. Tahun demi tahun skor yang dicatatkan semakin meningkat menunjukkan bagaimana prestasi cip kelas pertengahan kini setanding cip mercu beberapa tahun lalu. Hari ini Primate Labs yang telah melancarkan Geekbench 6 yang merupakan versi terkini perisian penanda aras ini.

Geekbench 6 akan melakukan ujian yang lebih relevan dengan penggunaan harian seperti mengaburkan latar belakang ketika sesi telesidang, penuras untuk media sosial, mengesan objek dalam gambar dalam pembelajaran mesin dan banyak lagi.
Selain itu gambar beresolusi lebih tinggi, ujian peta lebih besar dan menguji penggunaan teras CPU yang lebih tepat untuk peranti tahun 2023 juga diperkenalkan. Geekbench 6 boleh dimuat turun untuk versi Windows, Mac, Linux, Android dan iOS hari ini. Sempena pelancaran Geekbech 6 Pro dijual dengan potongan harga 20% sementara Geekbench 6 akan kekal percuma.