Komputer riba produktiviti ASUS ExpertBook B9 merupakan komputer riba produktiviti harian yang saya sendiri telah guna untuk hampir tiga tahun sejak ia dilancarkan. Ia hadir dengan rekaan yang sangat ringan dan digandingkan bersama cip pemprosesan Intel siri-U generasi ke-10 yang masih lagi sehingga cukup berkuasa untuk tugasan pejabat harian sehingga hari ini.
Sewaktu acara Consumer Electronics Show pada bulan Januari, ASUS telah mengemaskini model ExpertBook ini dengan menawarkan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 Raptor Lake siri-U dan juga paparan skrin OLED.
Rekaan
Salah satu keunikan utama komputer riba ASUS ExpertBook B9 ialah ia bukan sahaja mempunyai rekaan yang padat, tetapi juga berat yang cukup ringan sekali. Sama seperti model sebelum ini, ExpertBook B9 OLED masih lagi kekal menggunakan rangka Magnesium-Lithium yang memberikan komputer riba ini berat seringan 1kg sahaja.
Dalam pada itu, paparan IPS pada model sebelum ini sudah ditukar kepada sebuah paparan OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi WQXGA+ (2880×1800) dengan nisbah paparan 16:10 yang menjadikan paparan ini lebih tinggi sedikit.
Dengan penggunaan panel paparan baru ini, ExpertBook B9 OLED kini mempunyai sudut pandangan hampir 180 darjah yang cukup berguna untuk kolaborasi bersama rakan-rakan kerja lain, atau untuk menunjukkan kandungan kepada rakan ataupun keluarga.
Dari segi papan kekunci, satu perubahan ketara yang dapat diperlihatkan ialah pemindahan butang kuasa ke bahagian sisi komputer riba. Butang kuasa ini juga boleh digunakan untuk mengimbas cap jari untuk melog masuk kedalam komputer riba.
Selain daripada itu, butang 1-4 juga boleh dimanfaatkan untuk mengaktifkan fungsi ExpertWidget, iaitu pelbagai fungsi pintasan yang boleh membolehkan pengguna mengakses fungsi-fungsi tertentu dengan cepat.
Satu lagi perubahan ialah dari segi penempatan palam-palam komputer riba ini. Ia hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI dan satu palam DisplayPort. Bahagian pad sesentuh juga kini hadir dengan saiz yang lebih besar dan juga tampil dengan sokongan untuk sambungan NFC.
Satu perkara yang mungkin saya tidak begitu gemar ialah kesemua palam-palam USB dan juga output video semuanya dimuatkan di satu sisi komputer riba ini, dan pada hemat saya ini akan menyebabkan isu selirat kabel yang pastinya tidak dimahukan.
Akan tetapi dengan berat 1kg sahaja, komputer riba ini masih lagi diantara komputer riba yang paling ringan pernah saya pegang, dan mungkin ini hanyalah pendapat saya, tetapi saya merasakan bahawa ExpertBook B9 OLED adalah lebih ringan berbanding dengan model-model sebelum ini.
Spesifikasi
Seperti yang dikatakan, kemaskini model ExpertBook B9 OLED terbaru ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-13 siri-U dan boleh dikonfigurasi dengan pilihan memori sehingga 64GB dan juga storan SSD setinggi 1-2TB.
Untuk sebuah komputer riba produktiviti pejabat, spesifikasi yang dilihat akan memperkasakan komputer riba ini mungkin akan dirasakan sebagai sedikit terlalu berkuasa, tetapi apabila kita lihatkan bahawa komputer riba ini berkemampuan untuk menggerakkan pelbagai jenis perisian produktiviti seperti Microsoft Excel ataupu pelbagai jenis perisian pengaturcaraan ataupun pelayar web Chrome yang sudah semestinya akan memakan kuasa pemprosesan dan memori yang banyak.
Selain daripada penambahbaikan komponen tersebut, ASUS juga telah menaiktarafkan sistem penyejukan komputer riba ExpertBook B9 ini untuk menggunakan dua kipas penyejuk, dan ini akan memastikan bahawa komponen CPU, memori dan storan kekal pada suhu yang optimum untuk prestasi yang terbaik.
Sama seperti banyak pembuat komputer kebelakangan ini, ASUS juga dilihat mula mementingkan kelestarian tenaga dan binaan dalam komputer-komputer riba mereka, dan ExpertBook B9 OLED merupakan salah satu daripada komputer riba tersebut.
Komputer riba ini dibangunkan menggunakan teknologi yang dinamakan Thixomolding yang mengurangkan penggunaan bahan mentah dalam binaan sebanyak 29 peratus dan juga mengurangkan masa pembuatan komputer riba ini sebanyak 75 peratus.
Satu keraguan yang mungkin saya ada mengenai komputer riba ini ialah penggunaan panel OLED yang mungkin akan mengurangkan jangka-hayat bateri. Model ExpertBook B9 yang saya gunakan sekarang mempunyai jangkahayat setinggi 8-9 jam dengan satu pengecasan penuh, dan sekiranya kami diberi peluang untuk mengulas model baru ini, ia adalah salah satu daripada aspek yang akan saya tekankan kelak.
Penutup
Sebagai pengguna setia komputer riba ExpertBook B9, kemaskini yang ditawarkan ASUS ini adalah sesuatu yang saya telah tunggu untuk sekian lama. Penaiktarafan cip pemprosesan terbaru dan penggunaan paparan skrin OLED adalah besar khususnya apabila saya menggunakan sebuah komputer riba ini untuk dua-dua tujuan produktiviti harian dan juga riadah di rumah.
Gabungan rekaan komputer riba yang ringan dengan komponen-komponen dalaman yang berkuasa tidak boleh diperlekehkan. Sebuah komputer riba yang boleh diangkat dengan menggunakan dua ke tiga jari sahaja, tetapi cukup berkuasa untuk menggerakkan perisian-perisian produktiviti untuk seharian ialah sesuatu yang sukar untuk ditolak khususnya apabila kita semua sudah menikmati dan membiasakan diri dengannya.