Cari @ Amanz

MSI Memperkenalkan Paparan Mudah-alih MSI Pro MP161 Untuk Tujuan Produktiviti

Oleh Nazrin

Link Copied!

Paparan skrin mudah-alih bukanlah sebuah konsep yang baru, tetapi ia kini nampakny telah memperlihatkan populariti yang meningkat, khususnya untuk mereka yang mahukan paparan tambahan yang tidak memakan ruang yang terlalu banyak.

Terkini, MSI juga nampaknya telah memasuki arena ini dengan memperkenalkan paparan mudah-alih MSI Pro MP161, iaitu sebuah paparan bersaiz 16.5 inci yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan produktiviti di pejabat dan juga di rumah.

Paparan Pro MP161 ini menggunakan panel IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 60Hz. Ia dilengkapi juga dengan palam Mini HDMI dan dua palam USB 3.2 Type-C yang juga menyokong antaramuka DisplayPort 1.2 dan boleh digunakan untuk menguasakan paparan ini melalui bekalan kuasa 15W.

Ia juga hadir dengan tapak yang boleh digunakan untuk mengubahsuai kedudukan paparan ini, sama ada anda mahukannya berada dalam satu posisi dengan paparan komputer riba ataupun dileperkan ke permukaan meja.

Ia juga tampil dengan pembesar suara terbina yang membolehkan pengguna untuk menikmati video tanpa perlu bergantung kepada pembesar suara komputer riba juga. Ia juga hadir dengan beg penyimpanan yang memudahkan pengguna untuk membawa paparan ini kemana-mana.

Buat masa ini, MSI belum mengesahkan lagi tanda harga dan tarikh jualan untuk paparan skrin MSI Pro MP161 ini.

MSI

Komen ()