Cari @ Amanz

Ulasan – Berpanjangan Kekal Aktif Dengan Xiaomi Watch S1 Active

Link Copied!

Jam tangan dan penjejak kesihatan pintar semakin popular lalu digambarkan sebagai peranti yang mampu dijadikan alat bantuan dalam menjalani kehidupan seharian yang sihat. Ia juga memberi manfaat yang besar sekkiranya digunakan dengan cara yang betul. Berkongsi lebih lanjut, artikel ulasan kali ini mengenai Xiaomi Watch S1 Active yang dilengkapi rekaan seumpama seutas jam tangan biasa dengan skrin berbentuk bulat.

Seperti namanya, konsep yang digunakan juga semestinya tahan lasak dengan kerangka diperbuat daripada bahan keluli tahan karat bersalut gentian kaca poliamida yang diperkuatkan. Ia kemudiannya digabungkan dengan beberapa pilihan tali jam, sama ada silikon atau TPU untuk penampilan cukup minimalis. Apakah lagi yang disediakan oleh Xiaomi padanya? Teruskan membaca untuk lebih lanjut.


SPESIFIKASI DAN REKAAN

Xiaomi Watch S1 Active
JenisJam Tangan Pintar Asas
Paparan1.43″ AMOLED (466 x 466), 60Hz
Pemproses
RAM
Muatan Dalaman
Bateri420mAh
SIM / TelefoniPanggilan menerusi tambatan bluetooth
SensorSensor kadar jantung, oksigen darah, pecutan, giroskop,
geomagnetik, atmosfera, cahaya ambien
NFCYa
Infra MerahTiada
Tahap Ketahanan5ATM
Diameter46.2 x 45 x 11.1 mm
WarnaMoon White / Ocean Blue / Space Black
Harga JualanRM649

Apabila dipakai Xiaomi Watch S1 Active kelihatan sama seperti peranti boleh-pakai sedia ada. Reka bentuk klasik dengan skrin berbentuk bulat bersaiz 46mm bersama dua butang fizikal pada sisi kanan. Jenis skrin daripada keluarga AMOLED berwarna sebesar 1.43-inci dengan resolusi 466 X 466 piksel tanpa sokongan kadar segar semula yang tinggi. Meskipun begitu, tatalan terasa lancar tanpa isu yang melampau.

Selanjutnya skrin juga secara umumnya cukup besar dan jelas untuk pengalaman penggunaan yang baik. Skrin secara umumnya cukup besar dan jelas untuk pengalaman penggunaan cukup baik sambil dihiasi dengan ikon yang berwarna-warni. Kecerahan yang disediakan juga memudahkan skrin jam dilihat dengan mudah dalam pelbagai keadaan, sama ada di dalam bangunan atau di luar cahaya matahari yang terang. Terdapat juga ciri Always-On-Display disediakan namun sudah semestinya memberi kesan terhadap jangka hayat bateri apabila digunakan secara berterusan.

Tiada sebarang bezel berputar diberikan pada jam tangan ini. Sebaliknya sistem navigasi bergantung pada sokongan sesentuh sahaja. Tetapi masih terdapat sebilangan fungsi yang boleh diakses menggunakan butang fizikal disediakan. Kebolehan tambahan ini amat memudahkan penggunaan khususnya sewaktu jari berpeluh yang mengakibatkan sokongan sesentuh kadang kala gagal berfungsi dengan baik. Seterusnya tiada maklumat diketahui mengenai lapisan yang melindungi kaca skrin. Maka seeloknya penjagaan rapi amat diperlukan bagi mengelakkan isu calar-balar yang boleh merosakkan nilai kosmetik pada jam tangan ini.

Kalau perasan, kaca utama sebenarnya dilihat agak tersorok di dalam kerangka yang mampu melindunginya daripada mudah tercalar. Sejujurnya saya sendiri telah beberapa kali secara tidak sengaja terlanggar bucu meja, tombol pintu rumah dan pemegang besi. Namun bernasib baik kerana tiada kesan kerosakan yang ditemui sehingga hari ini. Pada masa sama, tiada komen negatif boleh diberikan berkaitan jisimnya yang ringan sekaligus mampu memberi keselesaan walaupun dipakai sepanjang hari termasuklah sewaktu tidur.

Gabungan tali sejenis TPU serba hitam pada unit ulasan diterima boleh dikatakan bonus kerana warna ini sering dianggap tidak mudah kotor. Berbeza pula dengan warna putih dan biru yang nampak ceria tetapi penjagaan rapi amat diperlukan. Penggunaan cangkuk standard juga membolehkannya tali jam ditukar ganti dengan mudah. Tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada Xiaomi untuk pilihan tali, sebaliknya tali jam biasa di pasaran turut boleh digunakan asalkan saiz dan mekanisme adalah sama.

Lubang yang banyak pada tali jam pula menjadikannya sesuai digunakan pada pelbagai saiz pengelangan tangan. Ia juga amat selesa tanpa sebarang isu kerengsaan pada kulit sepanjang ulasan ini dibuat. Namun begitu, tiada jaminan yang boleh diberikan kerana keadaan pastinya berbeza buat sesetengah pengguna yang mungkin mempunyai masalah kulit sensitif sehingga mengalami kegatalan yang teruk.

Pada sisi kanan terdapatnya dua butang navigasi berbentuk bulat bertujuan kembali dan memilih fungsi terbina. Menekan dengan sedikit laman pada butang kedua akan memboleh pembantu maya dengan kecerdasan buatan diaktifkan. Bahagian bawah jam tangan ini pula menggunakan bahan plastik dengan plat magnetik bagi tujuan pengecasan. Pun begitu tiada sebarang ciri pengecasan nirwayar yang diberikan pada jam tangan ini.

Xiaomi Watch S1 Active juga melepasi penarafan kalis air 5 ATM yang membolehkannya digunakan pada kedalaman air sehingga 50 meter. Kami bagaimanapun tidak pula mencubanya dengan merendam ke dalam air secara langsung, sebaliknya sekadar terkena rintik-rintik hujan semata dan tiada kerosakan yang dikesan sehingga ke hari ini.


PERKAKASAN & APLIKASI

Xiaomi Watch S1 Active menggunakan sistem operasi tersendiri tanpa kebolehan memuat turun aplikasi pihak ketiga. Ia telah diolah semula sedikit daripada Mi Watch sebelum ini tanpa perubahan yang besar. Selanjutnya kapasiti memori dan storan terbina pula kekal misteri. Sokongan fungsi dan perisian yang lancar memerlukan aplikasi Mi Fitness (Xiaomi Wear) dimuat-turun terlebih dahulu. Ia boleh didapati secara terbina menerusi AppStore untuk peranti iOS dan GooglePlay Store pada peranti Android.

Proses sambungan di antara peranti dan jam tangan pula mengambil masa sekitar satu minit dengan beberapa langkah mudah. Pertama sekali, pastikan jam tangan disambungkan terlebih dahulu dengan peranti menerusi menu bluetooth. Seterusnya imbas kod QR disediakan kemudian satu pop-up dengan empat nombor akan muncul bagi tujuan sambungan sepenuhnya. Setelah selesai, anda akan disajikan dengan beberapa paparan yang menunjukkan langkah penggunaan.

Antaramuka pada aplikasi Android dan iPhone dilihat sama tanpa perbezaan yang besar. Ianya ringkas dan mudah difahami tanpa memerlukan masa yang lama untuk membiasakan diri. Pelbagai info kesihatan dan kecergasan juga boleh dipantau dengan mudah menerusi skrin utama yang merangkumi tekanan darah, denyutan jantung, ciri pengesanan kualiti tidur dan sebagainya. Pilihan tetapan yang diberikan juga agak pelbagai di mana memudahkan pengguna mengoptimasi paparan pada skrin utama ikut kesesuaian, sekaligus mengelakkannya menjadi terlalu sarat dengan info.

Selanjutnya data yang dikumpul pula dipaparkan dalam bentuk info yang cukup padat, sama ada secara text, graf atau jadual. Selain itu, ffungsi asas seperti tetapan untuk notifikasi aplikasi, panggilan masuk, menjejak lokasi telefon pintar, mendengar muzik, penggera jam dan sebagainya turut ditawarkan. Sebagai tambahan, data terkumpul turut boleh diselarikan dengan beberapa aplikasi luar seperti Strava dan Apple Health.


PENGALAMAN PENGGUNAAN

Pertama sekali, ia boleh digunakan pada kedua-dua peranti Android dan iOS tanpa masalah. Pengalaman keseluruhannya baik tanpa masalah besar sewaktu menyambungkan ke peranti pintar. Selanjutnya Xiaomi Watch S1 Active boleh dikatakan berjaya membuatkan saya untuk bergerak aktif. Membandingkan dengan barisan jam tangan pintar utama dirasakan amat tidak adil. Ini disebabkan oleh kepintaran jam tangan pintar ini tidak sebaik pesaing yang dijual pada harga yang lebih premium.

Apa yang boleh katakan walaupun ianya asas tetapi pengalaman penggunaan adalah memuaskan. Pada jam tangan ini sendiri , pengalaman menatal terasa lancar tanpa isu sela masa melampau yang disedari. Pelbagai fungsi juga mudah untuk diakases dengan hanya menatalnya sama ada ke atas, bawah, kanan dan juga kiri. Dari muka utama, tatalan keatas akan memberi akses kepada sejumlah tetapan penting seperti Always on Display, Raise to Wake, Silent Mode dan lampu suluh. Selebihnya turut boleh diakses melaluinya dengan menekan pada ‘ikon tetapan’ yang seterusnya membenarkan pengguna mengubah lebih banyak perkara.

Tatalan ke bawah pula memaparkan pemberitahuan untuk notifikasi diterima tanpa sebarang kebolehan membalas. Selanjutnya tatalan ke kanan dan kiri dibuat bagi mengakses pelbagai aplikasi terpasang seperti fungsi kecergasan, cuaca, kawalan audio dan sebagainya. Sebagai pilihan, Xiaomi turut menyediakan sokongan Tiles seumpama Mi Watch sebelum ini yang mana kesemua aplikasi penting dipaparkan dalam bentuk lebih ringkas. Ia boleh diakses dengan menekan butang home pada sisi kerangka jam tangan. Gabungan ini juga menjadikan penggunaan jam tangan lebih mudah.

Dengan ini, pengguna tidak perlu meleret berkali-kali untuk mencari fungsi tertentu. Sementara itu, mod sukan terbina pula boleh diakses menerusi butang Sport dengan pilihan yang pelbagai seperti larian, berjalan, mendaki, berbasikal, berenang, yoga dan sebagainya.

Sensor-sensor yang disertakan menjejak pelbagai parameter dengan baik. Bagi mereka yang gemar memantau kadar degupan jantung sewaktu berlari, saya dapati jam tangan ini mampu mengesannya dengan baik bersama data yang sepatutnya. Kesemua data ini kemudiannya dipaparkan dalam bentuk info yang cukup padat bersama tambahan peta larian yang menarik. Seterusnya ia juga mempunyai kemampuan mengesan aktiviti yang dilakukan secara automatik yang perlu diaktifkan terlebih dahulu menerusi tetapan. Selepas aktiviti dikesan, pengguna perlu mengesahkan jenis aktiviti tersebut bagi tujuan menjejak senaman yang penuh.

Bertambah menarik apabila ia juga boleh mengesan pergerakan masa nyata, seterusnya berhenti menjejak apabila tiada pergerakan dikesan. Hal ini saya perasan sewaktu berlari jam tangan dilihat menjejak data seperti biasa. Namun apabila saya berhenti, ia turut sama berhenti menjejak yang kemudiannya mengeluarkan satu pop-up sebagai tanda pemberitahuan. Kemudian kembali menjejak seperti biasa apabila saya berlari semula. Hal lain yang turut saya perasan, jam tangan ini tidak mengambil masa yang lama untuk mengunci GPS setiap kali digunakan.

Selain daripada itu, saya juga membawanya tidur bagi menguji ciri pengesanan pola tidur terbina. Ia berfungsi secara automatik dengan kemampuan menjejak beberapa perkara seperti kitaran masa tidur yang sepatutnya, di samping kadar degupan jantung secara aktif. Data terkumpul dibahagikan kepada empat jenis zon tidur sama ada nyenyak, sederhana, REM atau terjaga.

Info kemudiannya dipaparkan dalam bentuk graf dan peratus yang mudah difahami. Aplikasi turut memberi markah dan saranan sepatutnya untuk tidur yang lebih berkualiti.

Kelebihan juga untuk pengguna wanita seperti saya apabila ciri pengesanan haid secara terbina yang amat membantu untuk mengesan tempoh kitaran yang sepatutnya berserta pemberitahu sebagai peringatan.

Di samping itu, jam tangan juga menyokong pemberitahuan pintar dengan membolehkan pelbagai kandungan seperti emel, teks, notifikasi dan panggilan masuk daripada peranti disambungkan. Tiada masalah untuk menjawab panggilan masuk daripada jam tangan ini kerana terdapatnya mikrofon terbina. Dalam masa sama, pengguna turut diberi pilihan untuk menolakkan sekiranya perlu. Berbeza pula dengan kesemua notifikasi lain yang hanya boleh dibaca tanpa kebolehan untuk membalas. Ia hanya boleh dibalas sepenuhnya menerusi peranti pintar yang disambungkan, tetapi masih boleh dimaafkan untuk seutas jam tangan pintar asas.


BATERI

Prestasi bateri 420mAh yang digunakan pada jam tangan ini berada tahap yang baik dengan penggunaan melebihi satu minggu berserta sokongan GPS. Xiaomi mengiklankannya mampu bertahan sehingga 12 hari untuk kegunaan normal, seterusnya meningkat kepada 24 hari pula dalam mod penjimatan bateri. Cubaan kami sendiri bagaimanapun sekadar mampu mendapatkan ketahanan mencapai 9 hari dengan bateri berbaki 20%. Kesemua ini melibatkan kegunaan biasa yang meliputi sambungan pada peranti pintar secara berterusan bagi tujuan menerima notifikasi aplikasi seperti telegram, WhatsApp dan sebagainya.

Dalam pada itu, ia turut sama digunakan untuk tujuan menjejak aktiviti kesihatan dan kecergasan harian, termasuklah pengaktifan mod sukan secara berkala. Dengan ini dakwaan Xiaomi bukanlah tidak berasas, malahan hampir tepat.

Selanjutnya Xiaomi menyediakan kabel USB-A dengan dermaga khusus yang boleh disambungkan secara magnetik di belakang jam bagi tujuan pengecasan semula. Ia bagaimanapun perlu diletakkan dengan arah yang betul, jika tidak jam tangan tidak dapat dicas dengan betul. Pengecasan semula sepenuhnya mengambil masa kurang daripada satu jam.


APA DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Xiaomi Watch S1 Active di Malaysia.

  • 1 X Xiaomi Watch S1 Active
  • 1 X Kabel pengecas USB-A ke dermaga khusus
  • 1 X Manual pengguna.
  • 1 X Notis Waranti

KESIMPULAN

Xiaomi Smart S1 Active ialah variasi kemas kini dengan rekaan serba baharu yang premium. Dari segi fungsi dan perkakasan dalaman, ia bukanlah perubahan yang besar kerana sejumlah besar daripadanya menyerupai jam tangan pintar asas di pasaran hari ini. Kesemua aktiviti sukan popular juga boleh dikesan dengan penjejakan yang konsisten.

Dalam masa sama, Ia juga amat memudahkan penggunaan pada mana-mana peranti sama ada Android mahupun iOS. Bukan itu sahaja, ia juga boleh dijadikan pilihan yang menarik dengan pelbagai fungsu disertakan bantu mengurangkan pergantungan kepada skrin telefon pintar. Di Malaysia, Xiaomi Watch S1 Active ditawarkan di Malaysia pada harga RM649 seutas.


Pro

  • Prestasi baik dengan perisian yang mudah digunakan.
  • Rekaan jam yang ceria dengan antaramuka yang menyeronokkan.
  • Skrin AMOLED yang cantik, terang, jelas dan nyata.
  • Keselesaan berpanjangan tanpa menyebabkan kegatalan pada kulit.

Kontra

  • Tiada kebolehan membalas teks atau mesej.
  • Getaran tidak sebaik yang diharapkan.
  • Pilihan muka jam terhad.

Komen ()