Carian
Tesla Memanggil Semula Sejumlah Besar Kereta Mereka Kerana Isu Dengan Perisian Swapandu
February 17, 2023 Nazrin

Tesla memperkenalkan perisian Full Self Driving (FSD) mereka beberapa tahun dengan janji bahawa di masa hadapan, pemilik kenderaan Tesla boleh menaiki kenderaan mereka, dan ia akan dipandu tanpa memerlukan input daripada seorang pemandu manusia.

Setelah beberapa insiden maut yang disebabkan oleh perisian swapandu FSD ini dan tekanan daripada pelbagai pihak, Tesla telah secara rasminya memanggil semula sebanyak 362,758 kenderaan mereka, yang termasuklah Tesla Model S dan Model X dari tahun 2016-2023, Tesla Model 3 dari tahun 2017-2023 dan tesla Model Y dari tahun 2020-2023 yang dilengkapi dengan perisian FSD beta.

Pihak National Highway Traffic Safety Administration di Amerika Syarikat sudahpun memulakan siasatan terhadap Tesla mengenai perisian swapandu FSD sejak 2021, dan kini nampaknya isu-isu yang telah dibongkarkan adalah cukup serius dimana pihak Tesla sendiri harus mengambil tindakan dalam memastikan keselamatan penumpang dan juga pengguna jalan raya yang lain adalah selamat.

Salah satu isu terbesar yang diperlihatkan ialah FSD ini akan memandu lebih laju daripada had kelajuan yang dibenarkan pada jalan raya dan juga akan mengambil selekoh secara berbahaya yang mungkin akan menyebabkan pertembungan dari arah yang berbeza.

Tesla turut mengesahkan bahawa mereka akan mengeluarkan kemaskini perisian OTA kepada pemilik-pemilik kenderaan Tesla yang berkenaan secara percuma tidak lama lagi, yang diharap akan memperbaiki isu ini.

Komen