Sudah hampir tiga bulan peranti Nothing Phone (1) menguji Nothing OS berasaskan Android 13. Kini akhirnya, kemaskini versi stabil diedarkan melalui Nothing OS 1.5.2.
Cuma buat masa ini, kemaskini ini diedarkan kepada pengguna beta terlebih dahulu. Bermakna mereka yang telah menjalankan Nothing OS 1.5.1 akan menerima OTA dalam masa terdekat. Sementara untuk pengguna biasa, kemaskini akan diedarkan dalam masa terdekat.

Pengguna yang menjalankan Nothing OS 1.5.1 akan menerima kemaskini dengan saiz sebesar 157MB. Dalam kemaskini ini, Nothing menawarkan aplikasi cuaca baharu, pek nada dering bersama animasi Glyph baharu, pek gambar latar, lebih banyak tema warna, talam notifikasi yang dikemaskini, antaramuka yang ditambahbaik, membenarkan pengguna mengosongkan papan klip selepas menyalin sesuatu dan prestasi yang lebih pantas dengan penggunaan kuasa yang lebih jimat.
Walaupun nampak menarik Nothing akhirnya mengedarkan kemaskini Android 13, dukacita dimaklumkan tampalan sekuriti masih lagi versi Januari 2023 dan bukannya Februari.