Masih ingat dengan jam tangan pintar Huawei bersama fon telinga terbina yang dilancarkan di China tempoh hari? Dikenali sebagai Huawei Watch Buds, jam tangan ini akhirnya memasuki pasaran Global bermula dengan Eropah dan UK. Ia juga telah ditemui sedia tersenarai di laman web dengan harga sekitar ~RM2,351 dengan pilihan warna hitam.

Tiada perubahan pada rekaan dan spesifikasi, di mana pengguna boleh membuka bahagian muka jam untuk mengakses fon telinga nirwayar. Melaluinya Huawei menggunakan penutup muka jam berasaskan magnetik bagi tujuan tersebut yang juga telah diuji sehingga 100,000 kali bukaan. Selanjutnya skrin AMOLED sebesar 1.47-inci yang menyokong sentuhan digunakan.

Ia juga boleh melakukan penjejakan nadi, sistem GPS, menjejak tidur, menjejak aktiviti sukan dan melakukan panggilan telefon apabila diperlukan. Seterusnya ia juga boleh ditambat pada peranti Android dan iOS menggunakan aplikasi Huawei AI Life bagi tujuan menjejak pergerakan dan aktiviti dengan lebih menyeluruh. Huawei mendakwa ketahanan bateri boleh mencapai 3 hari dengan penggunaan biasa, di samping bateri fon telinga pula boleh bertahan 3 jam dengan ANC diaktifkan. Kelemahan mula dilihat apabila tiada pengecasan nirwayar yang diberikan pada jam tangan ini.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada Huawei akan membawa masuk peranti ini ke pasaran Malaysia atau sebaliknya.