Carian
Hanya Pelanggan Twitter Blue Boleh Menggunakan Pengesahan Dwi Faktor Menerusi SMS
February 18, 2023 Effi Saharudin

Twitter mengubah polisi keselamatan akaun pengguna mereka secara mengejut pagi ini dengan sistem pengesahan dwi faktor (2FA) menerusi SMS hanya boleh digunakan oleh pelanggan Twitter Blue. Kepada bukan pelanggan, mereka perlu berubah kepada aplikasi pengesahan identiti atau kunci sekuriti.

Langkah ini akan menjimatkan kos kepada Twitter kerana tidak perlu menghantar SMS kepada jutaan pelanggan yang mengaktifkan sistem 2FA menerusi SMS. Notifikasi untuk berubah ke sistem pengesahan 2FA selain SMS mula diterima pengguna aplikasi Twitter sejak sejam lalu dengan kami sendiri melihatkan dalam aplikasi Android.

Twitter berkata langkah diambil atas sebab keselamatan. SMS menurut mereka bukanlah sistem pengesahan 2FA yang benar-benar selamat. Malahan mereka mengatakan pengesahan 2FA menerus SMS kini bergantung dari negara ke negara dengan ia tidak semestinya disokong sepenuhnya untuk pelanggan Twitter Blue.

Pengguna Twitter biasa diberikan 30 hari untuk mengubah sistem 2FA mereka dengan ciri ini tidak lagi akan disokong selepas 20 Mac 2023.

Komen