Setelah dilancarkan secara rasmi di China dan global, kini giliran pasaran Malaysia pula menerima kehadiran Oppo Find N2 Flip. Pelancaran rasminya telah dijadualkan berlangsung pada 2 Mac hadapan menerusi beberapa saluran berbeza seperti Facebook dan YouTube rasmi. Laman pengiklan rasmi juga telah mula diterbitkan selain turut menyediakan ruangan untuk para pelanggan mendaftar minat sekiranya mahu.
Tiada maklumat mengenai spesifikasi yang diberikan buat masa ini. Namun pelancaran Global baru-baru ini menunjukkan peranti dilengkapi skrin utama pula AMOLED 6.8-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ciri tambahan lain yang turut diberikan seperti HDR10+, sokongan gamut warna DCI-P3 dan kecerahan puncak mencapai 1600 nits. Ini dipadankan pula dengan skrin luaran adalah lebih besar mencapai 3.26-inci sejenis OLED.

Kemudian cip MediaTek Dimensity 9000+ digunakan dengan padanan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Konfigurasi kamera utama terdiri dengan 50MP + 8MP, sementara itu kamera swafoto pula 32MP. ColorOS 13 berasaskan Android 13 turut menyertakan pelbagai animasi yang boleh dipaparkan di skrin luar untuk menjadikan peranti kelihatan lebih ceria. Bateri pula adalah 4300mAh dengan sistem pengecasan pantas 44W.

Bagi melihat sama ada variasi di Malaysia turut didatangkan dengan spesifikasi yang sama atau sebaliknya, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya pada 2 Mac hadapan. Kami di Amanz juga akan berkongsi kemaskini selanjutnya dalam artikel akan datang termasuklah untuk harga jualan peranti ini.