Cari @ Amanz

Skrin Sesentuh Yang Membersihkan Kotoran Secara Automatik Dipatenkan GM Untuk Kenderaan

Link Copied!

Skrin sesentuh pada telefon pintar, tablet, dan komputer memerangkap kotoran serta cap jari sejak berkurun lamanya. Walaupun terdapat lapisan oleofobik digunakan, isu turun temurun ini masih belum mampu diselesaikan. General Motors telah mempatenkan sebuah sistem baharu yang membersihkan kotoran pada skrin sesentuh secara automatik.

Menerusi dokumen paten, skrin sesentuh yang digunakan dalam kenderaan akan dilengkapi lampu LED keempat selain merah, hijau dan biru. Lampu LED keempat ini memancarkan sinar ultra ungu (UV). Apabila skrin ingin dibersihkan, LED UV akan dihidupkan. Ia akan meleraikan lapisan minyak pada cap jari dan kotoran pada permukaan skrin sekaligus membersihkannya.

Permukaan skrin yang sebelum ini adalah hidrofobik akan menjadi hidrofilik untuk seketika untuk menyerap molekul air. Pasca pembersihan, lampu LED UV dimatikan dan skrin kembali menjadi hidrofobik. Sistem pembersihan ini boleh diaktifkan oleh pemilik kenderaan apabila diperlukan atau dihidupkan secara automatik pada waktu malam ketika kenderaan tidak digunakan.


Komen ()