Cari @ Amanz

Lockheed Martin Akan Membekalkan Senjata Hipersonik Untuk Tentera Laut A.S

Link Copied!

Senjata hipersonik telah digunakan di konflik Ukraine sejak tahun lalu. Peluru berpandu ini bergerak dengan amat pantas sehingga tidak boleh dipintas oleh sistem pertahanan udara sedia ada yang hanya berfungsi pada kelajuan supersonik. Amerika Syarikat masih belum mempunyai senjata hipersonik aktif. Minggu ini Lockheed Martin dianugerahkan kontrak $2 bilion untuk membekalkan peluru berpandu hipersonik pada kapal milik Tentera Laut Amerika Syarikat (USN).

Peluru berpandu hipersonik Conventional Prompt Strike (CPS) akan digunakan pada kapal laut kelas Zumwalt milik USN. CPS bukan sahaja boleh digunakan pada kapal laut tetapi juga pada kapal selam dan sistem pelancar darat. Ia berkongsi kepala senjata dengan sistem Long Range Hypersonic Weapon (LRHW) yang sedang dibangunkan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat.

Menerusi kontrak ini, Lockheed Martin menyasarkan CPS akan digunakan pada kapal laut USN menjelang pertengahan 2020an. Program senjata hipersonik Amerika Syarikat masih di peringkat ujian dengan ia beberapa kali gagal dalam pelancaran menggunakan Boeing B-52H sebelum berjaya dilakukan tahun lalu.

Senjata hipersonik boleh membawa kepala senjata nuklear, konvensional dan kinetik bergantung kepada keperluan misi.


Komen ()