Starlink menawarkan perkhidmatan internet di mana juga pelanggan berada menggunakan rangkaian satelit mereka. Bermula dengan pelan rumah, ia kini ditawarkan kepada kapal, kapal terbang dan juga kenderaan yang bergerak. Dengan perkhidmatan internet satelit mereka kini ditawarkan secara rasmi di 48 negara, Starlink mengumumkan pula pelan perayauan global.
Menerusi pelan Starlink Global Roaming berharga $200 sebulan ini, pelanggan boleh menikmati perkhidmatan internet di mana jua mereka berada secara bebas. Selain membayar kos langganan, pelanggan turut perlu membeli kit satelit berharga $599. Pelan ini masih lagi dalam peringkat ujian serta ditawarkan kepada pelanggan terpilih sahaja. Pelanggan boleh mengembalikan semula kit sekiranya tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan Starlink.
Setakat ini Starlink mampu menawarkan internet pada kelajuan antara 50-500 Mbps. Dalam situasi kecemasan seperti di Ukraine, Starlink didapati berguna bagi membolehkan perhubungan diteruskan selepas infrastruktur konvensional musnah dibom.