Poco sekali lagi hadir dengan peranti kelas pertengahan baharu menerusi model C55 yang diumumkan sebentar tadi. Peranti didatangkan dengan skrin hadapan rata bertakuk kecil bersama sistem dwi-kamera yang melengkapi panel belakang pula.

Saiz skrin yang digunakan adalah sebesar 6.71-inci sejenis LCD dengan resolusi HD+ (1650 x 720 piksel). Ini dipadankan pula dengan cip MediaTek Helio G85 serta memori sehingga 6GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman mencapai 128GB eMMC 5.1. Sebagai tambahan, peranti turut memuatkan sokongan kad mikroSD sehingga 1TB.

Tetapan kamera utama terdiri dengan 50MP (utama) + 2MP (kedalaman), sementara itu kamera swafoto pula sebesar 5MP. Kapasiti bateri pula 5,000mAh yang turut menyokong sistem pengecasan berwayar 10W. Lain-lain spesifikasi termasuk bicu audio 3.5mm, penarafan kalis percikan dan debu IP52, pengimbas cap jari fizikal dan menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 12.
Buat masa ini, peranti hanya ditawarkan untuk pasaran India dengan harga bermula INR9,499 (~RM508) (4GB/64GB) dan INR10,999 (~RM589) (6GB/128GB) seunit.