Isu kehilangan wang simpanan dalam bank secara tiba-tiba bukanlah satu perkara yang baru. Malah, scammer hari ini juga kebanyakannya sudah celik teknologi dan ada seribu satu cara untuk mereka melakukan penipuan dan menjadikan keselamatan akaun bank anda boleh dikompromi. Perkara ini membuatkan kita sebagai pengguna berasa tidak selamat untuk menyimpan wang dalam bank. Jadi, apa solusi kepada masalah ini?
CIMB Melancarkan Fungsi ‘Lock Clicks ID’ Untuk Membekukan Akaun Bank Menerusi Aplikasi

Bagi membendung jenayah siber melibatkan wang dalam akaun bank ini, CIMB telah melancarkan fungsi Lock Clicks ID. Fungsi ini membolehkan anda untuk membekukan akaun secara serta-merta menerusi Aplikasi CIMB Clicks dan juga Aplikasi CIMB OCTO apabila anda mengenal pasti terdapat transaksi yang mencurigakan telah berlaku pada akaun bank anda.
Setelah akaun bank anda dibekukan, anda tidak boleh log masuk dan membuat sebarang transaksi buat sementara waktu. Tetapi jangan risau, anda masih boleh mengakses akaun bank anda melalui mesin ATM atau di mana-mana cawangan bank CIMB.
Langkah-Langkah Untuk Mengaktifkan Fungsi Lock Clicks ID
Lock Clicks ID ini sudahpun tersedia dalam kedua-dua aplikasi CIMB iaitu Aplikasi CIMB Clicks dan Aplikasi CIMB OCTO. Berikut merupakan langkah-langkah untuk mengaktifkan fungsi ini.
Aplikasi CIMB Clicks
- Daftar masuk ke Aplikasi CIMB Clicks > Leret ke kiri pada halaman utama
- Klik butang ‘Services’ > ‘Clicks Profile’ > ‘Lock Clicks ID’
- Tekan ‘Proceed’ bagi mengaktifkan fungsi Lock Clicks ID

Aplikasi CIMB OCTO
- Daftar masuk ke Aplikasi CIMB OCTO
- Tekan butang ‘More’ > ‘Other Services’ > ‘Clicks Profile’ > ‘Lock Clicks ID’
- Tekan ‘Proceed’ dan ‘Approve’ melalui SecureTAC bagi mengaktifkan fungsi Lock Clicks ID

Setelah anda yakin akaun perbankan anda selamat dan ingin nyah-bekukan akaun bank anda ini, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pusat Panggilan Pengguna CIMB dan melakukan proses pengesahan akaun. Anda juga disarankan untuk menukar kata laluan setelah anda dapat mengakses semula akaun bank bagi mengukuhkan lagi keselamatan akaun bank anda.
Langkah Berjaga-Jaga Tambahan Untuk Menjamin Keselamatan Akaun Bank Anda
Seperti yang kami katakan tadi, penjenayah siber hari ini mempunyai seribu satu cara untuk menipu dan mencuri wang dari akaun bank kita. Tetapi dengan ciri keselamatan yang dilancarkan oleh CIMB ini, ia sedikit sebanyak akan membantu untuk menghasilkan satu lagi lapisan keselamatan untuk membendung jenayah ini.

Namun begitu, adalah lebih baik sekiranya anda mengambil langkah berjaga-jaga tambahan demi memastikan keselamatan akaun bank anda terjamin. CIMB menyarankan anda memuat turun aplikasi mereka melalui gedung aplikasi yang dipercayai sahaja seperti Google Play Store, Apple App Store dan HUAWEI AppGallery.
Bukan itu sahaja, sekiranya anda mengesan transaksi yang mencurigakan berlaku, anda diminta untuk segera mengaktifkan ciri Lock Clicks ID dan memaklumkan pihak bank dengan menghubungi Pusat Panggilan Pengguna di talian +603-6204 7788. Kemudian, anda juga dikehendaki untuk menukar kata laluan setelah mengaktifkan semula akses akaun serta membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Kesimpulan

Selain memperkenalkan fungsi Lock Clicks ID ini, CIMB juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti satu peranti berdaftar untuk pengesahan Aplikasi CIMB Click/CIMB OCTO, pengesahan panggilan suara untuk log masuk aplikasi kali pertama dan kebenaran SecureTAC mandatori untuk transaksi kewangan seperti pemindahan wang dan FPX.
Jadi disini kita boleh simpulkan bahawa CIMB sangat komited untuk menghasilkan sistem keselamatan yang lebih kukuh dalam membendung jenayah siber yang melibatkan akaun perbankan pengguna mereka.
Dengan itu, bertindak cepat dan jangan ragu untuk gunakan fungsi Lock Clicks ID sebagai langkah pertama untuk mencegah penipuan berlaku kepada anda. Seperti yang disarankan oleh Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan, jangan lupa tiga langkah ini – “Awas, Fikir, Blok” dan #JanganKenaScam.
- Info
- Layari : Laman Rasmi CIMB Untuk Maklumat Lanjut
Penafian : Advertorial daripada CIMB