Sejak OnePlus menjadi sub-jenama Oppo, pembangunan Oxygen OS telah berubah. OnePlus tidak lagi menggunakan kod tersendiri, sebaliknya menggunakan kod Color OS untuk memastikan kemaskini boleh diedarkan dengan pantas – oleh itu Oxygen OS dan Color OS ada banyak persamaan.
Disebabkan Oppo tidak lagi memerlukan pasukan perisian tambahan ini, dua tahun lepas 20% pekerja bahagian perisian telah dilepaskan. Minggu lepas, Carl Pei mendedahkan yang pasukan di sebalik Nothing OS adalah orang sama yang pernah membangunkan Oxygen OS bersama-sama dengan beliau.
Jika anda aktif di forum XDA atau Discord Nothing, ramai pengguna Nothing Phone (1) yang pernah menggunakan peranti OnePlus menyedari yang prestasi lancar pada Nothing OS mirip dengan konsep Fluid pada Oxygen OS. Di mana aplikasi dilancarkan dengan pantas, tatalan rasa laju dan penggunaan yang sentiasa seimbang.
Sedikit sejarah di sebalik Oxygen OS, pasukan pembangun asal mereka adalah daripada pembangun bebas di XDA yang membangunkan custom ROM Paranoid Android. Custom ROM ini adalah antara yang paling popular kerana menawarkan ciri banyak dalam antaramuka Android asli. Paranoid juga antara yang aktif memeberi kemaskini kepada peranti OnePlus dan antara custom ROM terawal untuk peranti Nothing.
XDA melaporkan yang pengarah Paranoid Android (PA) memberitahu mereka, beberapa pembangun PA yang pernah membangunkan Oxygen OS besar kemungkinan akan kembali bekerja bersama-sama dengan Carl Pei untuk terus menjayakan Nothing OS.