Apabila memilih sebuah komputer riba, beberapa aspek yang akan dipertimbangkan oleh pengguna sebelum memilih dan membelinya ialah corak penggunaan, spesifikasi yang dimahukan dan juga saiz komputer riba tersebut, samada mereka mahukan sebuah komputer riba yang mudah-alih, ataupun sebuah pengganti komputer yang tidak memakan ruang sebanyak sebuah komputer desktop.
Bagi mereka yang mahukan sebuah komputer riba desktop replacement, diantara pilihan utama yang boleh kami syorkan ialah MSI GT77 Titan, iaitu komputer riba gaming gergasi yang dmuatkan dengan komponen-komponen yang memiripi apa yang ditawarkan pada sebuah komputer desktop pada saiz yang jauh lebih jimat ruang.
MSI GT77 Titan | |
---|---|
Skrin | 17.5″ 4K, (4096 × 2560 pixel) IPS, 120Hz |
CPU | Intel Core i9-12900HX |
GPU | NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti 16GB GDDR6 |
RAM | 64GB DDR5-5200MHz |
Storan | 1TB M.2 NVMe PCIe |
Kamera Utama | 1080p Infra Merah |
I/O | 1 x USB 3.2 Gen 2 Type-A 2 x Thunderbolt 4 1 x HDMI 2.1 output Kunci Kensington |
Bateri | 99.9 WHr Pengecasan 330W |
SIM/Telefoni | Tiada |
WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/6e |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Wajah Windows Hello |
Harga Jualan | RM23,999 |
Skrin
MSI GT77 Titan hadir dengan paparan skrin IPS gergasi bersaiz 17.3 inci dengan resolusi 4K dan juga kadar segar semula 120Hz, yang mana ia merupakan di antara komputer riba terawal yang hadir dengan penawaran sebegini.
Paparan skrin komputer riba ini turut hadir dengan ciri seperti True Color yang membolehkan anda untuk mengubahsuai tetapan warna paparan untuk menyesuaikan mata anda dengan kandungan yang dipaparkan pada skrin.
Kecerahan paparan skrin ini juga dilihat cukup terang, dengan nilai kecerahan sekitar 480 nit pada nilai kecerahan maksima tanpa HDR, dan boleh menjadi setinggi 750 nit dengan mod HDR dipasangkan.
Apabila dipandang secara terus, saya boleh katakan bahawa paparan ini mempunyai olahan warna yang sangat cantik sekali. Tidak kira apa kandungan yang saya tonton. olahan warna yang diperlihatkan cukup cerah dan tiada cacat-cela.
Akan tetapi oleh kerana paparan ini masih lagi sebuah paparan IPS, kejituan warna paparan ini dilihat merudum dengan mendadak, khususnya apabila anda memperlihatkan adegan-adegan yang gelap dimana butiran warna dan juga kandungan akan kehilangan walaupun kedudukan pengguna tidak begitu jauh berubah.
Walaupun begitu, saya boleh katakan bahawa ia adalah jarang sekali bahawa anda akan mengubah kedudukan anda di hadapan komputer riba ini, dan jika ditanya kepada saya, ia bukanlah isu yang terlalu besar, melainkan anda mempunyai cara duduk dihadapan komputer yang tidak berhadapan secara terus dengan paparan skrin.
Rekabentuk
Seperti yang dikatakan, MSI GT77 Titan merupakan komputer riba terbesar yang pernah dikeluarkan oleh MSI, dan dari segi rekaan, komputer riba ini memperlihatkan rekaan yang tidak begitu berbeza berbanding dengan tahun lepas. Ia masih hadir dengan rekaan rangka setebal 23mm dan ruang yang mencukupi untuk komponen-komponen CPU dan GPU supaya bahagian papan kekunci tidak panas apabila memainkan permainan-permainan kegemaran.
Jika anda melihat kepada bahagian belakang komputer riba ini, anda pasti akan menanyakan mengapa ia mempunyai bonggol di bahagian belakang paparan. Ini adalah kerana MSI GT77 Titan ini menggunakan sistem penyejukan Cooler Boost Titan terbaru yang terdiri daripada tujuh paip pengaliran haba, empat kipas penyejukan di sekitar komponen CPU, GPU, memori, storan dan lain-lain dan enam ruang pengeluaran haba panas di bahagian sisi dan juga belakang komputer riba ini.
Dengan berat 3.3kg juga, MSI GT77 Titan ini adalah di antara komputer riba yang paling berat di pasaran sekarang, dan secara lazimnya hanya akan digunakan sebagai pengganti desktop yang hanya akan dibawa keluar apabila ia benar-benar diperlukan.
Tetapi dengan rekaan komputer riba ini, saya boleh katakan bahawa tiada sebarang masalah haba dan kawasan-kawasan yang biasanya akan dipegang menjadi terlalu panas apabila digunakan untuk jangka masa yang panjang.
Papan Kekunci
Kebiasaannya untuk papan kekunci mana-mana komputer riba gaming, ia merupakan satu aspek yang saya tidak akan begitu hiraukan kerana kebanyakan komputer riba gaming, walaupun pada tahun 2022/2023 adalah tidak begitu menarik, melainkan jika kita berkata tentang sejumlah papan kekunci pada komputer riba kelas produktiviti.
Keistimewaan papan kekunci MSI GT77 Titan ialah untuk sekian lamanya mereka menggunakan papan kekunci Steel Series yang hadir dengan suis Cherry MX, iaitu suis kekunci mekanikal yang cukup popular di kalangan mereka yang gemar menggunakan papan kekunci mekanikal.
Ya, untuk MSI GT77 Titan ini, mereka menggunakan papan kekunci mekanikal yang sudah diubahsuai untuk digunakan khusus dengan komputer riba, khususnya MSI GT77 Titan ini.
Kelainan yang dapat saya katakan mengenai penggunaan papan kekunci ini ialah untuk tujuan menaip, penggunaan suis Cherry MX Brown ini ialah nia mempunyai kedalaman menaip yang tidak secetek papan-papan kekunci komputer riba lain, dan untuk tujuan gaming ia juga cukup selesa untuk penggunaan jangka masa lama khususnya apabila anda memainkan permainan-permainan FPS seperti Valorant, Destiny 2 dan sebagainya.
Spesifikasi Dan Pengalaman Pengguna
Sebagai komputer riba paling berkuasa yang diperkenalkan oleh MSI pada tahun 2022, GT77 Titan ini juga dimuatkan dengan penggunaan komponen-komponen paling berkuasa yang diperkenalkan oleh Intel dan NVIDIA pada tahun lalu.
Ini termasuklah penggunaan cip pemprosesan Intel Core i9-12900HX dengan 16 teras terbina dan juga 64GB memori DDR5 dan juga storan PCIe 4.0 sebesar 2TB yang mana kedua-dua slot memori dan storan ini boleh ditambahkan ke 128GB dan 4TB oleh pengguna sendiri sekiranya dimahukan.
Untuk kad grafik pula, model yang dihantar kepada kami hadir dengan model kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti yang cukup berkuasa untuk menggerakkan semua permainan komputer moden pada resolusi dan juga tetapan tinggi tanpa masalah.
Kami menguji permainan seperti Destiny 2 dan juga Shadow of The Tomb Raider pada resolusi 4K dan gabungan tetapan tinggi dan pertengahan, dan mendapati bahawa komputer riba ini tidak mempunyai masalah dalam menggerakkannya pada resolusi melangkaui 60FPS pada resolusi 4K.
Dari segi penawaran palam, MSI GT77 Titan mempunyai penawaran yang cukup banyak. Ini termasuklah dua palam Thunderbolt 4, tiga palam USB 3.2 Type-A, satu pembaca kad SD, satu palam HDMI 2.1 yang menyokong paparan luaran beresolusi 4K 120Hz ataupun 8K 60Hz dan juga palam audio 3.5mm kombo yang menyokong kedua-dua mikrofon dan juga fon kepala.
Dengan permainan-permainan seperti Overwatch 2, Apex Legends dan sebagainya juga, kami pasti tiada masalah untuk komputer riba ini menggerakkannya pada resolusi 4K dan kadar tetapan yang tinggi.
Cuma seperti banyak komputer riba gaming yang lain, kipas penyejukan Titan Boost Cooler pada GT77 Titan ini akan berpusing dan mengeluarkan bunyi angin yang cukup bising sekali, sehinggakan rakan sekerja saya menanyakan jika saya sedang terbang kemana-mana.
Jika anda seorang yang sanggup bertahan dengan bunyi kipas yang kuat, tetapi boleh menggerakkan permainan-permainan moden tanpa isu lengah masa, MSI GT77 Titan ini kami jangka ialah komputer riba untuk anda.
Audio
Pembesar suara dengan kerjasama bersama Nahimic dan juga SteelSeries diperlihatkan di sisi papan kekunci dan terdiri daripada dua satelit audio dan juga dua subwoofer yang pada pendapat saya cukup berkuasa untuk memberi pengguna kualiti audio yang baik apabila bermain permainan komputer dan menonton siri televisyen dan filem kegemaran pengguna.
Sayangnya apabila mendengar muzik, satu kekurangan ketara yang dapat saya dengari ialah bagaimana sistem pembesar suara Nahimic ini mempunyai satu kekurangan ketara, iaitu dari segi bass. Mencuba lagu-lagu dari pelbagai sumber seperti YouTube Music dan Spotify, isu bass pada pembesar suara ini ialah satu-satunya sebab saya tidak boleh memberi markah penuh untuk aspek ini.
Tetapi apa yang baiknya ialah mikrofon komputer riba ini hadir dengan fungsi pembatalan hingar dimana anda boleh menggunakan perisian telesidang seperti Discord tanpa perlu risau mengenai audio pembesar suara memberi isu kepada bahagian mikrofon.
Jika anda, seperti saya tidak gemar menggunakan fon telinga untuk tujuan berborak dengan rakan-rakan ini, ia adalah satu tambahan yang cukup baik sekali buat komputer riba ini.
Bateri
MSI GT77 Titan dilengkapi dengan bateri 99Wh yang mampu bertahan selama tiga jam dengan penggunaan biasa. Kami juga pasti bahawa apabila digunakan untuk tujuan gaming, jangkahayat bateri ini akan turun secara agak mendadak juga.
Oleh kerana itu, untuk penggunaan dengan tujuan menggunakan sebarang kuasa CPU ataupun GPU, saranan kami ialah untuk anda menggunakan bongkah kuasa 330W yang tersedia untuk memastikan komputer ini menerima bekalan kuasa yang mencukupi untuk tujuan produktiviti ataupun riadah yang serius.
Pengurangan nilai kecerahan juga dilihat dapat membantu sedikit sebanyak dalam meningkatkan jangkahayat bateri, tetapi tidak memberi begitu banyak masa dalam pengalaman kami.
Dalam Kotak
MSI GT77 Titan ini hadir dengan aksesori tambahan yang boleh dimanfaatkan pengguna. Ia termasuklah:
- 1x MSI GT77 Titan.
- 1x Bongkah pengecas 330W.
- 1x Kabel kepala 3 pin.
- 1x Manual.
- 1x Beg galas
- 1x Tetikus gaming
Kesimpulan
Pada tanda harga RM23,999, MSI GT77 Titan ini ialah komputer riba gaming yang hadir dengan tanda harga yang bukan calang-calang.
Tetapi apa yang anda menerima untuk tanda harga ini ialah sebuah komputer riba gaming yang sangat berkuasa yang mampu menggerakkan permainan-permainan moden dan juga perisian produktiviti kreatif untuk bertahun lamanya.
Ditambahkan lagi dengan aksesori tambahan yang diberi, bersama sokongan perisian yang akan bertahan untuk bertahun-tahun lamanya tanpa isu, MSI GT77 Titan adalah pengganti komputer desktop yang terbaik sekiranya anda mampu memilikinya.
PRO dan kelebihan
- Pengganti komputer desktop yang berkuasa
- Boleh menggerakkan pelbagai perisian dan permainan tanpa masalah
- Paparan beresolusi 4K dan kadar segar semula tinggi
- Sistem penyejukan yang bagus
- Sistem pencahayaan RGB yang ranggi
- Aksesori menarik yang ditawarkan
Kontra dan kekurangan
- Bunyi kipas yang bising
- Jangkahayat bateri yang tidak begitu lama
- Kualiti audio tidak sebaik mungkin
- Berat