Carian
Kajian Mendapati Jam Tangan Pintar Boleh Mengganggu Fungsi Peranti Perentak Jantung
February 23, 2023 Effi Saharudin

Jam tangan pintar dan penjejak kesihatan adalah aksesori yang semakin popular di kalangan pengguna kerana harga jualannya yang semakin mampu milik. Ia hadir dengan pelbagai ciri yang membolehkan pemakai menjejak tahap nadi, kepekatan oksigen dalam darah, jejak langkah dan mengesan masalah pada jantung Tetapi kajian terkini mendapati dua peranti bagi tujuan kesihatan ini boleh mendatangkan impak yang negatif kepada kesihatan pemakai.

Sistem bioimpedans (bioimpedance) yang digunakan jam tangan pintar dan penjejak kesihatan untuk menyukat pelbagai data tubuh boleh mengganggu peranti elektronik implan jantung (CIED). Antara yang terkesan ialah peranti perentak jantung (pacemaker), defibrilator kardioverter yang boleh diimplan (IDC) dan peranti terapi penyelarasan semula jantung (CRT).

Ini adalah kerana sistem bioimpedans menyalurkan arus elektrik ke dalam tubuh semasa melakukan sukatan jumlah lemak dalam tubuh misalnya. Arus elektrik ini walaupun tidak dapat dikesan oleh pemakai melepasi had yang ditetapkan FDA bagi mengelakkan gangguan kepada peranti CIED. Risiko yang sama turut berlaku apabila menggunakan cincin pintar dan penimbang berat pintar.

Jenama jam tangan pintar dan penjejak kesihatan yang diuji tidak didedahkan tetapi adalah daripada tiga pengeluar terbesar di pasaran. Juri kaji juga menyarankan supaya lebih banyak kajian dilakukan untuk melihat impak sebenar sistem bioimpedans ke atas pemakai peranti CIED. Kertas kajian telah diterbitkan dalam jurnal Heart Rhythm Journal.

Komen