Dalam usaha negara melahirkan generasi fasih digital, tidak lama lagi Dasar Pendidikan Digital akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.
Inisiatif itu menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada makluman lisan Parlimen – bertujuan untuk meningkatkan pendedahan pengetahuan berhubung penggunaan teknologi secara kritis dalam kalangan guru, pelajar dan petugas sekolah.
KPM melihat langkah ini turut akan membantu sistem pendidikan negara meningkatkan kecekapan tenaga pengajar bersama penguasaan pembelajaran yang luas bersama para murid. Adanya usaha ini, ia juga akan membuka peluang perkongsian pelaburan antara sektor pendidikan bersama rakan pintar ekonomi.
Sehingga kini, antara usaha digital yang telah dilaksanakan melalui pelantar DELIMa adalah sekitar 754 buku teks digital telah berjaya dimuat-naik, diikuti 5,568 video kurikulum bersama 170 bahan pendidikan berbentuk podsiar (podcast) kepada para pelajar.
Usaha itu dijamin akan terus ditambah-baik, bagi memastikan bahan pendidikan berasaskan teknologi dan digital ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan pelajar negara.