Tidak dinafikan hari ini penggunaan perkhidmatan yang dikuasakan kecerdasan buatan sedang menjadi trend dan trend ini saya rasakan tidak akan terus berhenti dan menjadi tepu kerana perkhidmatan yang ditawarkan benar-benar bermanfaat.
Kita sekarang sudah boleh menjana maklumat dengan hanya memasukkan teks ringkas kedalam ChatGPT atau memberikan teks ringkas untuk menjana grafik realistik menggunakan DALL.E 2. Kini NASA juga menyertai trend ini dengan menggunakan kecerdasan buatan untuk menjana rekaan alat ganti untuk roket.
Rekaan yang dihasilkan nampak futuristik dan aneh seakan teknologi makhluk asing dalam filem sains fiksyen. Walaupun rekaan alat ganti ini menggunakan kecerdasan buatan, pereka NASA masih perlu memantaunya untuk memastikan rekaan yang dihasilkan adalah tepat dan mengikut spesifikasi.
Alat ganti ini direka dan dihasilkan dalam masa seminggu yang sangat pantas berbanding kaedah tradisional. Menariknya selepas NASA menguji alat ganti ini dengan perisian khas, mereka menyatakan ujian tekanan mendapati rekaan aneh ini mempunyai faktor tekanan 10 kali lebih rendah berbanding rekaan yang dihasilkan oleh manusia.
Alat ganti ini dikatakan adalah untuk menjadi perancah kepada roket dan jisim rekaan ini adalah lebih ringan tetapi pada masa sama kekal kukuh. Secara tidak langsung ini dapat mengurangkan masalah sisa bahan mentah serta pembaziran.
Komponen titanium direka ini akan digunakan pada misi EXoplanet Climate Infrared TElescope (EXCITE). Perancah ini akan digunakan untuk menyambungkan sensor infra merah di dalam bekas aluminium kriogenik yang turut disambungkan kepada plat gentian karbon yang menampung cermin utama teleskop.