Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan hari ini telah membentangkan Belanjawan 2023, sekaligus mengumumkan sejumlah inisiatif. Melaluinya, ia turut dikongsikan yang mana liputan 5G akan mencapai 80% menjelang penghujung 2023 kelak.
“Pada akhir 2022, DNB telah mencapai 50 peratus liputan kawasan berpenduduk dan disasarkan akan mencapai 80% liputan menjelang penghujung tahun 2023”, menurut Anwar Ibrahim.

Mengikut perkongsian sebelum ini, DNB menyasarkan angka tersebut dicapai pada penghujung 2024 (atau mungkin lebih awal), dan melalui perkongsian ketika pembentangan Belanjawan 2023, ia dilihat perkara tersebut dipercepatkan untuk setahun.
PM turut menambah, “Kini, Kerajaan Perpaduan mengambil pendekatan supaya DNB diuruskan dengan lebih telus dan terangkum supaya mencapai penyertaan penuh oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Ada anjakan daripada pendekatan yang lalu, supaya jamin harga yang berpatutan kepada rakyat, dan tidak membebankan kewangan negara.”
Langkah mempercepatkan ia setahun lebih awal semestinya akan menguntungkan ramai pengguna seluruh negara dalam menikmati rangkaian generasi baharu tersebut.

Kerajaan sendiri dijangka akan berkongsi lanjut berkenaan polisi dibawah DNB pada penghujung suku pertama 2023 ini.
Pada hari ini, sejumlah syarikat telah mula menawarkan khidmat rangkaian 5G melalui rangkaian mereka, termasuk Celcom, Digi, U Mobile, Unifi Mobile, dan juga Yoodo.