Cari @ Amanz

Minggu MWC 2023 : Pelbagai Peranti Dan Teknologi Baharu Bakal Diumumkan

Oleh Aman

Link Copied!

Mobile World Congress atau MWC merupakan salah satu acara tahunan yang sering menyaksikan pengumuman sejumlah produk baharu oleh para pengeluar dan juga pemain industri – dari segi penawaran teknologi, perkhidmatan dan juga produk seperti peranti dan gajet.

Untuk tahun 2023 ini, MWC akhirnya kembali pada kapasiti besar selepas terakhir kali diadakan pada saiz besar ketika sebelum Covid-19 sebelum ini. Ini sekaligus membuatkan ramai ternanti-nanti apakah yang bakal diumumkan oleh pelbagai pengeluar.

Sejumlah jenama peranti telah menjadualkan acara mereka sepanjang minggu ini dalam memperlihatkan produk mereka.

Ini termasuk Xiaomi yang dijangka mempertontonkan serta melancarkan Xiaomi 13 untuk pasaran global, bersama-sama antaramuka MIUI14. Disamping itu, Xiaomi juga turut mengacah bakal mempertontonkan robot mereka kepada umum pada acara MWC ini.

Selain Xiaomi, Honor turut dijangka mencuri perhatian pada acara MWC 2023 ini, dengan pengenalan beberapa model telefon mereka untuk pasaran global – terutamanya telefon dengan skrin boleh-lipat. Memandangkan peranti-peranti baharu ini telah diumumkan untuk pasaran China, tidak diketahui lagi adakah Honor masih menyimpan sebarang kejutan untuk pasaran global dengan perkongsian perkembangan baharu atau sebaliknya.

OnePlus pula sebelum ini telah mengacah pengenalan telefon konsep baharu, OnePlus 11 Concept Phone – yang bakal menyertakan pencahayaan LED pada bahagian belakang kerangka, lebih kurang sama seperti Nothing Phone (1).

Realme pula dijangka berkongsi berkenaan penawaran global untuk telefon pintar dengan pengecasan pantas 240W – membolehkan pengecasan penuh telefon pintar dari 0% ke 100% dalam masa kurang 10 minit.

Tidak ketinggalan adalah sejumlah syarikat teknologi lain yang turut akan mencuri perhatian, termasuk Nubia dengan kaca mata pintar, Mediatek dengan sebuah cip baharu memfokuskan sambungan satelit, Oppo dengan peranti telefon boleh-lipat dan perkongsian teknologi baharu, selain Samsung yang sering mencuri perhatian pada acara berkenaan.

Disamping dengan perkembangan peranti baharu, kita juga mungkin mendengar perkembangan berkenaan rangkaian mudah-alih seperti 5G dan 6G, selain sokongan peranti berhubung (IOT), teknologi pengecasan, teknologi skrin, selain kemampuan fotografi.

Sama-sama kita nantikan kemeriahan MWC 2023 bermula minggu hadapan ini.


Komen ()