Carian
Xiaomi 13 Dan 13 Pro Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula RM3499
February 27, 2023 Effi Saharudin

Selepas pelancaran Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro di peringkat global awal pagi tadi, kedua-dua peranti dengan lensa Leica ini akhirnya dilancarkan pula ke pasaran Malaysia. Di Malaysia harga jualan Xiaomi 13 ialah RM3499 untuk model 12/256GB. Sementara itu Xiaomi 13 Pro dijual pada harga RM4599 untuk model 12/256GB dan RM5999 untuk model 12/512GB.

Xiaomi 13 Pro menggunakan skrin 6.73″ OLED LTPO beresolusi 2K dan kadar segar semula 120Hz. Ia bukan sahaja menyokong format HDR10+ tetapi juga Dolby Vision. Berbeza dengan Xiaomi 13, skrin 13 Pro melengkung pada bahagian sisi. Cip Snapdragon 8 Gen 2 dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5, dan storan sehingga 512GB UFS 4.0. Bateri adalah berkapasiti 4820mAh dengan pengecasan 120W berwayar, nirwayar 50W dan berbalik 10W. Pengecas disertakan dengan setiap pembelian.

Kamera utama pula sebesar 50MP dengan sensor bersaiz 1-inci daripada Sony IMX989. Kamera ultra sudut lebar dipadakan dengan sensor 50MP dan kamera telefoto 50Mp yang boleh melakukan zum optikal sehingga 3.2X. Kamera swafoto pula adalah 32MP yang diletakkan dalam sebuah lubang kamera.

Peranti melepasi piawaian kalis debu dan air IP68 serta turut hadir dengan speaker stereo serta pemancar infra merah. Masih tiada bicu audio tetapi terdapat sokongan dwi-SIM nano bersama dengan sebuah eSIM.

Xiaomi 13 pula menggunakan skrin 6.36″ OLED beresolusi FHD+ dengan segar semula 120Hz serta Dolby Vision. Cip Snapdragon 8 Gen 2 juga digunakan pada model ini dengan padanan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan sehingga 512GB UFS 4.0.

Bateri berkapasiti 4,500mAh boleh dicas pada kuasa 67W berwayar, 50W nirwayar dan 10W secara berbalik. Ia turut melepasi piawaian kalis air IP68 dengan speaker stereo. Skrin dan tubuh peranti ini adalah rata serta berkotak. Berlainan sama sekali dengan 13 Pro yang dibulatkan pada bahagian sisi.

Kamera utama adalah 50MP dengan sensor Sony IMX800 bersama, kamera sudut-lebar 12MP dan telefoto 10MP. Kamera hadapan pula sebesar 16MP yang diletakkan di dalam lubang kamera.

Kedua-duanya hadir dengan lensa Leica dan juga ciri khas terbina pada aplikasi kamera. Antara yang boleh dilakukan ialah memilih mod warna Leica Vibrant dan Leica Authentic. Mod potret juga mempunyai beberapa mod Leica dengan warna, bokeh dan ciri lain menarik yang khusus.

Pratempahan untuk Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro dibuka hari ini 27 Februari sehingga 7 Mac 2023. Jualan terbuka akan dilakukan bermula 8 Mac 2023. Terdapat beberapa penawaran menarik daripada Xiaomi sempena tempoh pra-tempahan ini.

Xiaomi 13 (12/256GB) – RM3499

  • Pratempahan menerusi Lazada dan Shopee – potongan RM699 menggunakan e-voucher.
  • Pratempahan menerusi Xiaomi Store – Xiaomi TV P1 43” berharga RM1799 percuma.
  • Pembeli pada 8 Mac pula – Redmi Buds 4 berharga RM239 percuma.

Xiaomi 13 Pro (12/256GB) – RM4599

  • Pratempahan menerusi Lazada dan Shopee – potongan RM799 menggunakan e-voucher.
  • Pratempahan menerusi Xiaomi Store – Xiaomi TV A2 58” berharga RM2799 percuma.
  • Pembeli pada 8 Mac pula – Redmi Buds 4 berharga RM239 percuma.

Xiaomi 13 Pro – RM5999 (12/512GB)

  • Pratempahan menerusi Lazada dan Shopee – potongan RM799 menggunakan e-voucher.
  • Pratempahan menerusi Xiaomi Store – Xiaomi Watch S1 Pro, Xiaomi Buds 4 Pro, Xiaomi 33W PowerBank 10,000mAh Pocket Edition Pro bernilai RM7469.
  • Pembeli pada 8 Mac pula – Xiaomi Watch S1 Pro, Xiaomi Buds 4 Pro, Xiaomi 33W PowerBank 10,000mAh Pocket Edition Pro bernilai RM7469.
Komen