Durioo+ merupakan salah satu perkhidmatan penstriman video yang dibangunkan di Malaysia, dengan penawaran kandungan memfokuskan kepada gaya hidup Muslim mesra kanak-kanak. Pada hari ini, Durioo menawarkan lebih banyak kandungan untuk kanak-kanak dibawah umur 9 tahun, dengan sasaran untuk memperluaskan penawaran kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Durioo+ telah dilancarkan pada Februari 2022 lepas. Untuk makluman, pengasasnya Sinan Ismail turut merupakan pengasas Digital Durian sebelum ini yang popular dengan animasi Didi & Friends dan juga Omar & Hana.
Pembangunan animasi Omar & Hana seperti memberikan inspirasi dan panggilan kepada Sinan dalam memperluaskan penawaran kandungan yang mesra kanak-kanak, terutamanya memfokuskan gaya hidup muslim. Ini sekaligus membuatkan Sinan Ismail meninggalkan syarikat Digital Durian dan memulakan Durioo bersama sejumlah tenaga pekerja.
Sinan sendiri mengimbau secara ringkas, mengatakan mereka antara startup yang memulakan operasi dengan bilangan tenaga ahli yang ramai, iaitu sekitar 45 orang, dan kini mempunyai sekitar 65 orang ahli dibawah pasukan Durioo.

Terbaru, selepas setahun beroperasi, kini Durioo mengumumkan mereka telah berjaya meraih suntikan dana pelaburan berjumlah RM12.5 juta baru-baru ini, sekaligus menilaikan syarikat mereka sekitar RM100 juta. Ini boleh dikatakan salah satu anjakan paradigma yang tinggi untuk sebuah syarikat berusia setahun.
Kejayaan ini juga hasil daripada input yang diterima oleh pasukan yang diterajui Sinan Ismail ini, melalui program Y Combinator – yang turut melahirkan sejumlah syarikat berjaya seperti Airbnb, Dropbox, Twitch dan sebagainya. Durioo kini mempunyai sejumlah pelabur strategik dalam syarikat mereka, termasuk dari Y Combinator, Uncommon Capital, Gobi Partners, Lynett Capital, New Venture Order, dan juga Innate Capital.

Platform penstriman ini kini mempunyai 22,000 pelanggan aktif berbayar, yang melanggan pada harga RM12.90 sebulan. Menjelang penghujung 2023 ini, Durioo menyasarkan mencapai 100,000 pelanggan berbayar, dan dengan sasaran 1 juta pelanggan berbayar menjelang 2026 kelak. Sinan Ismail turut mengatakan mereka tidak mempunyai sebarang perancangan memperkenalkan pelan percuma di sokong iklan – kerana ia agak sensitif untuk pengguna kanak-kanak, dan tidak begitu disukai para ibu bapa.

Dari segi kandungan pula, sehingga kini Durioo telah menghasilkan lebih 20 rancangan tersendiri dibawah label Durioo Originals, disamping turut melesenkan lebih 1500 episod rancangan dari penerbit seluruh dunia, termasuk rancangan seperti Upin & Ipin, Baby Shark, dan sebagainya. Durioo turut menyasarkan untuk memperluaskan ia kepada lebih 5000 kandungan dalam beberapa bulan akan datang.
“Menghasilkan animasi kosnya hampir lebih 500 kali ganda berbanding penghasilkan produksi nyata yang lain.” kata Sinan Ismail. Namun, kosnya tidak memberikan kekangan, disebabkan salah satu usaha Durioo juga adalah untuk mengetengahkan produksi tempatan, selain menonjolkan bakat-bakat tempatan ke mata dunia. Usaha ini turut disokong oleh MDEC di Malaysia.
Bersama-sama pengumuman penerimaan pelaburan, Durioo turut mengumumkan sejumlah rakan strategik untuk tahun ini – termasuk dari segi penghasilan kandungan, pemasaran, perlesenan dan sebagainya. Antara nama yang terlibat adalah Little Caliph Kindergarten dimana langganan akan ditawarkan kepada para pelajar Little Caliph, selain capaian lebih luas melalui kerjasama dengan pengeluar televisyen Prism+ dan juga saluran Unifi TV.

Durioo juga akan memasarkan produk mereka melalui pelbagai aktiviti, dan salah satu yang dirancang selari bulan Ramadan akan datang adalah sebuah bentuk bazar termasuk konsert nasyid, dinamakan “Marhaban Ya Ramadan” di IOI City Mall Putrajaya pada 18-19 Mac kelak.

Sinan Ismail turut secara ringkas menyentuh mengenai perancangan lima tahun akan datang mereka. Ini termasuk menyertai arena permainan video yang mesra kanak-kanak dibawah label Durioo Games, disamping turut Durioo Commerce, Durioo Learning, dan Durioo Experiences.
“Mungkin suatu hari nanti kita akan melihat taman tema Durioo!”