Cari @ Amanz

Pandang Pertama ThinkPhone By Motorola – Peranti Pengiring Komputer Riba ThinkPad

Oleh Nazrin

Link Copied!

Siri komputer Lenovo ThinkPad ialah komputer riba kelas produktiviti yang cukup terkenal untuk rekaannya yang minimalis dan unik. Komputer riba ThinkPad secara lazimnya hadir dengan rekaan yang nipis dan ringan dan masih hadir dengan komponen dalaman yang cukup berkuasa juga.

Di era moden ini, kita dapat melihat bahawa gabungan peranti pintar dan komputer riba semakin meluas, seperti iPhone dan MacBook, peranti Honor dan juga komputer riba MagicBook, ataupun peranti Huawei dengan komputer MateBook mereka.

Kini tiba giliran Lenovo dan Motorola pula, dengan pengenalan peranti ThinkPhone by Motorola.

Rekaan Dan Spesifikasi

Rekaan peranti ThinkPhone mengambil ilham 100 peratus daripada siri komputer riba Lenovo ThinkPad, lengkap dengan rangka berwarna hitam, rekaan serba nipis dan juga butang merah di sisi yang mana jika anda pernah menggunakan komputer riba ThinkPad sebelum ini, ialah titik tetikus berwarna merah ikonik komputer riba tersebut.

Ia tampil dengan paparan skrin P-OLED bersaiz 6.6 inci dengan resolusi 1080 x 2400 dan kadar segar semula 144Hz. Ia juga menggunakan skrin Gorilla Glass Victus untuk memberikan peranti ini sedikit ketahanan terhadap calaran dan juga retakan akibat jatuh.

Model asas peranti ThinkPhone ini adalah menggunakan rangka sebuah lagi peranti pintar Motorola, iaitu Motorola X40 yang merumahkan komponen-komponen dalaman yang sedikit berlainan dari biasa. Jika Motorola X40 dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, ThinkPhone dikuasakan oleh cip pemprosesan generasi sebelumnya, iaitu Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 dengan konfigurasi memori dan storan dari 8GB ke 12GB dan 128GB ke 512GB.

Di bahagian belakang, selain daripada penggunaan rangka yang diperbuat daripada bahan Kevlar seperti apa yang digunakan pada komputer riba ThinkPad X1, dan juga mempunyai sistem kamera tiga lensa yang terdiri daripada sensor 50MP, 13MP dengan lensa ultralebar dan sensor 2MP untuk lensa kedalaman (TOF).

Penggunaan rangka Kevlar ini bermakna bahawa bahagian belakang peranti ini tidak akan menjadi magnet cap jari, akan tetapi ia juga masih bermakna bahawa peranti ini masih lagi sangat licin dan mudah terjatuh dari pegangan anda. Walaupun begitu, Kevlar merupakan sebuah bahan yang sangat tahan lasak dan tidak begitu mudah tercalar ataupun kopak.

Peranti Ekosistem

Seperti yang dikatakan sebelum ini, peranti ThinkPhone ini dibangunkan sebagai peranti ekosistem untuk digunakan bersama-sama dengan komputer riba ThinkPad. Sejumlah model komputer riba Lenovo ThinkPad hadir dengan perisian Ready for Assistant yang membolehkan peranti ThinkPhone ini menggunakan paparan ThinkPad sebagai antaramuka peranti tersebut.

Apa yang membezakan ekosistem Lenovo dan Motorola ini dan juga peranti-peranti keluaran Huawei dan Honor ialah perisian Ready for Assistant yang memperlihatkan penggunaan antaramuka mod mudahalih dan desktop pada komputer riba ialah pemprosesan untuk aktiviti ini semuanya berlaku di latar belakang, dan bukanlah fungsi mirroring semata-mata.

Ini bermakna bahawa sementara anda menggunakan peranti melalui komputer riba, peranti pintar anda masih lagi boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti lain secara serentak. Penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen1 dengan memori mencukupi memastikan bahawa perisian dan ciri ini boleh digunakan tanpa masalah.

Bukan itu sahaja, ThinkPhone ini juga dilihat mempopularkan kembali fungsi-fungsi gesture seperti Flip to DND, Lift to Unlock, Three Finger Screenshot dan sebagainya. Malah, sebagai sebuah fungsi unik untuk peranti ThinkPhone ini, ia juga tampil dengan butang merah istimewa yang boleh digunakan sebagai butang pintasan yang boleh ditetapkan dengan satu dan dua ketik untuk membuka apa-apa fungsi dan aplikasi yang dimahukan.

Kesimpulan

ThinkPhone by Motorola merupakan sebuah peranti yang menggabungkan konsep-konsep kesederhanaan dalam rekaan, prestasi berkuasa dan juga fungsi-fungsi yang berguna untuk tujuan produktiviti dan kemudahan penggunaan.

Sayangnya kami diberitahu bahawa peranti ThinkPhone ini merupakan sebuah peranti B2B (business-to-business) yang hanya akan ditawarkan kepada pelanggan Lenovo yang menggunakan peranti ThinkPad sedia-ada.

Peranti ThinkPhone ini juga dilihat hanya boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang menggunakan komputer riba ThinkPad dengan menggunakan perisian Ready for Assistant tersebut, dan oleh kerana penggunaan ThinkPad secara lazimnya hanya digunakan secara besar-besaran oleh syarikat-syarikat besar ataupun badan kerajaan, tidak mengejutkanlah jika ini model bisnes yang ditawarkan untuk peranti ini.


Komen ()