Carian
Pandang Pertama TECNO Phantom V Fold – Peranti Boleh Lipat Kini Di Arus Perdana
March 14, 2023 Nazrin

Tahun 2021 dan 2022 memperlihatkan peningkatan dari segi penawaran peranti boleh lipat oleh syarikat-syarikat seperti Samsung, Huawei dan Oppo. Pada penghujung 2022 dan awal 2023, peranti-peranti boleh lipat ini akhirnya memperlihatkan peningkatan dari segi kualiti binaan dan prestasi dan juga pengeluaran yang lebih banyak.

Ini membolehkan peranti-peranti unik ini untuk akhirnya hadir pada penawaran sama seperti peranti kelas mercu sedia ada, dan apabila lebih ramai orang biasa menggunakan peranti-peranti seperti ini, lebih banyak lagi jenama yang akan memperkenalkan penawaran peranti boleh-lipat mereka sendiri, seperti apa yang dilakukan oleh TECNO dengan peranti TECNO Phantom V Fold yang diperkenalkan di Mobile World Congress baru-baru ini.

Rekaan

TECNO Phantom V Fold
SkrinDalam
7.85″ AMOLED LTPO
2296×2000, 120Hz

Luar
6.42″ AMOLED LTPO,
1080×2550, 120Hz
PemprosesDimensity 9000+ (4nm)
Cip1 X 3.2 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikMali-G710 MC10
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB/512GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP f/1.9 (Lebar)
50MP f/1.9 (Telefoto)
13MP (Ultralebar)
Kamera Swafoto16 MP (Kamera paparan dalam)
32MP (Kamera paparan luar)
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanBelum Diumumkan (12/256GB/512GB)

Sebagai sebuah peranti boleh-lipat, sama seperti penawaran siri Samsung Galaxy Fold dan juga Oppo Find N, TECNO Phantom V Fold hadir dengan skrin luaran dan juga dalaman yang boleh digunakan apabila lipatan peranti dibuka.

Skrin luaran merupakan skrin melengkung 6.42 inci manakala skrin dalamannya bersaiz 7.85 inci yang mana kedua-duanya menggunakan panel AMOLED dengan resolusi 1080×2550 FHD+ (skrin luaran) dan 2296×2000 2K+ (skrin dalaman) dimana kedua-duanya juga mempunyai kadar segar semula 120Hz.

Walaupun peranti ini hadir dengan nilai kecerahan sekitar 1100 nit untuk kedua-dua paparan, kami juga diberitahu bahawa ia tidak mempunyai sokongan untuk teknologi paparan seperti HDR 10+, yang bermakna bahawa walaupun peranti ini mempunyai kecerahan yang tinggi, olahan warnanya mungkin tidak begitu menarik seperti apa yang ditawarkan pada peranti dengan sokongan teknologi tersebut.

Di bahagian belakang, peranti Phantom V Fold ini hadir dengan kamera tri-lensa, yang termasuklah kamera 50MP utama, kamera 50MP telefoto dan 13MP ultralebar. Dalam pada itu, rangka luaran belakang peranti ini juga hadir dengan kemasan kulit, dimana ia tampil dengan pilihan warna hitam dan putih.

Pilihan warna berbeza ini juga memperlihatkan penggunaan kulit yang berlainan, dimana penawaran warna hitam merupakan kulit sintetik biasa, manakala pilihan warna putih memperlihatkan penggunaan kulit yang diperbuat daripada kulit silikon organik.

Berbeza dengan bahan-bahan seperti kulit PU dan PVC, pembuatan dan pembakaran kulit silikon organik ini dikatakan tidak menyebabkan penyebaran gas-gas yang merosakkan alam sekitar.

Beralih kepada ciri unik peranti ini, TECNO Phantom V Fold hadir dengan fungsi boleh lipat yang anda mungkin akan fikir, ia pasti hadir dengan ruang dan kesan lipatan yang sangat besar dan jelas. Tetapi apa yang kami lihat di reruai TECNO ialah peranti Phantom V Fold ini tidak memperlihatkan sebarang ruang dalam lipatan langsung, seperti apa yang diperlihatkan pada peranti Oppo Find N2.

Malah, untuk kesan lipatan juga, boleh saya katakan bahawa ia tidaklah lebih teruk daripada apa yang dilihat pada peranti-peranti boleh lipat yang ditawarkan Samsung dan juga Oppo. Ia akan lebih kelihatan apabila skrin peranti dipadamkan, tetapi apabila ia aktif, ia sangat mudah untuk diendahkan.

Spesifikasi

TECNO Phantom V Fold juga boleh dilihat sebagai sebuah peranti kelas mercu berdasarkan penggunaan komponen-komponen didalamnya, Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 9000+ yang juga menguasakan peranti-peranti kelas mercu jenama lain seperti ASUS ROG Phone 6D, Oppo Find N2 Flip dan sebagainya.

Ia juga dilengkapi dengan memori LPDDR5 sebanyak 12GB dan mempunyai pilihan storan UFS 3.1 sebesar 256GB dan juga 512GB. Ia dimuatkan dengan bateri 5000mAH dengan sistem pengecasan berwayar 45W yang boleh mengecas peranti ini dari kosong ke penuh dalam 55 minit.

Peranti ini juga digerakkan menggunakan sistem operasi Android 13 dengan antaramuka HiOS 13 Fold yang hadir dengan sejumlah ciri-ciri menarik seperti menggerakkan dua atau lebih aplikasi pada satu skrin besar, Drive Mode dimana pengguna boleh memanfaatkan skrin besar peranti ini untuk melihat aplikasi peta seperti Google Maps ataupun Waze dengan lebih mudah.

Kesimpulan

Pengumuman peranti Tecno Phantom V Fold ini boleh saya katakan adalah bukti bahawa peranti boleh-lipat akhirnya sudahpun memasuki arus perdana dan syarikat-syarikat seperti Samsung, Oppo dan Huawei tidak lagi memegang monopoli terhadap peranti dengan rekabentuk sebegini.

TECNO Malaysia telah mengesahkan bahawa TECNO Phantom V Fold ini akan diperkenalkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Dengan sejumlah lagi jenama seperti Honor dan Realme yang juga akan memperlihatkan penawaran peranti boleh-lipat mereka di pasaran tempatan tidak lama lagi, kami menjangkakan bahawa kesemua peranti-peranti ini akan memberi persaingan yang sengit kepada jenama-jenama yang lebih besar itu.

Komen