Xiaomi sekali lagi hadir dengan peranti boleh pakai baharu menerusi pengenalan Watch S1 Pro. Ia dijual di Malaysia dengan harga jualan RM1399 namun Xiaomi masih belum berkongsi lanjut mengenai ketersediaan untuk pembelian setakat ini.


Untuk spesifikasi, Watch S1 Pro Talk dilengkapi kerangka jam berbentuk bulat yang dilindungi kaca nilam. Ini dipadankan pula dengan tali jam sejenis kulit atau getah yang boleh ditukar ganti dengan mudah. Skrin pula sejenis AMOLED sebesar 1.47-inci beresolusi 480 X 480 piksel dan kecerahan puncak 600nits.
Selanjutnya terdapat juga sensor kesihatan terbina yang boleh memantau sejumlah perkara seperti kadar degupan jantung, kiraan kalori, pola waktu tidur dan SpO2. Di samping 100 mod sukan terbina dan bateri 500mAh dengan kemampuan bertahan sehingga 14 hari.

Kemampuan melakukan panggilan telefon menerusi jam turut disokong kerana ia mempunyai pembesar suara dan mikrofon terbina. Lain-lain spesifikasi termasuklah sambungan GPS dwi-jalur, WiFi dan Bluetooth 5.2.