Satu perbezaan ketara antara Z Flip4 dan Find N2 Flip yang dilancarkan semalam terletak pada bahagian engselnya. Pada peranti Oppo, skrin dapat ditutup dengan lebih rapat dan mempunyai engsel yang lebih nipis berbanding Samsung. Menurut laporan The Elec, Samsung akan menggunakan rekaan engsel baharu lebih nipis pada Galaxy Z Fold5 yang dilancarkan tahun ini.
Engsel baharu dengan mekanisme rekaan skrin dilipat ke bentuk titisan air sedang menjalani proses ujian oleh Samsung. Mereka menyasarkan engsel boleh bertahan dibuka dan ditutup sebanyak 200,000 kali tetapi masih mengekalkan 85% ketegangan serta kekerasan asal.
Di CES 2023 yang berlangsung Januari lalu, Samsung telah menunjukkan prototaip peranti seakan Fold dengan engsel baharu lebih nipis. Maka boleh diramalkan ini ialah rekaan yang sedang diuji menjadikan siri Fold lebih hampir dengan siri Oppo Find N2, Honor Magic Vs dan Xiaomi Mix Fold.